Sebut sahaja nama Noki K-Clique, pastinya ramai yang membayangkan susuk tubuhnya yang sasa dan rupa parasnya yang solid. Namun, bagi pemilik nama sebenar Ahmad Ikhwan Aji ini, dia sanggup melakukan apa sahaja termasuk mengubah bentuk fizikalnya demi menjayakan sesuatu watak yang diberikan.
Membawa nama Sabah, penyanyi dan pelakon yang berasal dari Kota Kinabalu ini enggan memberikan alasan dalam melunaskan tanggungjawabnya sebagai pelakon. Kesungguhan itu akhirnya memberi hasil kepada lakonannya yang kini dilihat semakin rancak berkembang.
“Alhamdulillah, rezeki dalam bidang lakonan semakin murah sekarang. Saya sangat bersyukur dengan setiap peluang yang datang.
“Kalau orang lain sanggup buta, macam saya sendiri, saya pun sanggup. Contoh, macam kalau sebelum ini badan saya besar, mereka minta untuk watak ini sedikit kurus, memang saya akan kurang makan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Noki berkata, Proses mengurangkan berat badan dalam tempoh yang sangat singkat merupakan satu kejutan besar buat keadaan fizikalnya. Berat asal yang agak berat terpaksa diturunkan dengan cepat.
“Bayangkan masa itu berat saya dalam 85 atau 84 kilogram. Saya susut pergi 75 kilogram dan tidak pernah sekurus itu. Sekarang pun, mungkin berat saya dalam 76 atau 77 kilogram lah. Waktu itu memang saya langsung tidak pergi ke gimnasium,” katanya.
Bagi menjayakan proses tersebut, Noki terpaksa menyekat pengambilan makanan harian dan menukar keseluruhan menu kepada makanan yang lebih sihat. Segala makanan berminyak dan berlemak dipotong sepenuhnya daripada senarai makanan harian demi mengejar sasaran berat badan.
“Cuma kuruskan badan dan potong makanan yang tidak sepatutnya. Masa itu saya memang hanya makan makanan yang sihat sahaja semuanya seperti ubi kayu.
“Proses diet yang ketat itu berjalan kurang daripada sebulan. Saya rasa dalam kurang daripada satu bulan berat badan itu boleh jatuh.
“Berat badan memang cepat jatuh sebab kita tak ada makan protein langsung masa itu. Jadi, bila tidak ada zat, badan akan mula makan otot kita sendiri,” jelasnya.

Ketiadaan protein dalam tempoh yang lama memaksa otot badan yang sasa sebelum ini mengecil dengan sendiri. Walaupun nampak menyiksakan, Noki langsung tidak mempunyai perasaan bimbang akan kehilangan aset badannya itu demi tugas.
“Apabila badan makan otot kita, jadi otot itu akan menjadi semakin mengecil. Tapi saya tidak ada rasa risau pun pasal perkara itu.
“Sebab, orang yang dah buat badan ini, dia macam akan fikir balik macam mana pula dengan masa yang dia dah laburkan sebelum-sebelum ini kan? Dan memang kalau tanya saya, proses mahu buat badan itu sangat bergelut.
“Bukan senang kita mahu buat badan balik sebab kita perlu bagi komitmen 100 peratus. Baru selepas itu kita akan nampak dia punya keputusan sama ada badan naik atau tidak,” katanya.
Namun, segala kerisauan itu diketepikan kerana Noki mengutamakan tanggungjawabnya terhadap kerja. Dia menganggap perubahan fizikal itu adalah sebahagian daripada tugas yang perlu diselesaikan sebagai pelakon.
“Cuma macam saya cakap tadi, ini semua adalah pasal kerja. Sebab saya mahu benda ini, jadi saya perlu buat.Kalau pihak produksi minta untuk saya jadi gemuk pun, mungkin saya boleh buat. Tapi saya perlu tengok jugalah sama ada watak itu bersesuaian atau tidak kalau mahu saya gemuk,” katanya.
Dalam pada itu, usaha keras Noki menguruskan badan itu adalah demi filem terbaharu lakonannya berjudul Tiket Sehala yang akan ditayangkan di seluruh pawagam pada 6 Ogos ini.
Filem yang mengangkat isu penipuan (scam), kelangsungan hidup, dan kekeluargaan ini menyaksikan Noki memegang watak Alif iaitu seorang pemuda kampung yang peka dengan keadaan sekeliling dan sanggup berbuat apa sahaja demi ibunya.
“Jalan cerita Tiket Sehala ini memang berbeza dengan filem lain di Malaysia. Watak Alif ini buat semua benda demi mak dia di kampung. Menariknya, bila tercampak ke tempat orang, dia bukan sahaja mahu selamatkan diri sendiri, malah cuba menyelamatkan semua orang Malaysia yang ada di situ sekali.
“Bekerja dengan mereka memang best walaupun ada halangan bahasa. Komunikasi agak mencabar dengan pelakon Korea sebab ada yang kurang fasih bahasa Inggeris. Tapi dengan pelakon Thailand dan Indonesia tiada masalah, terutamanya Indonesia sebab bahasa kita lebih kurang, jadi memang senang nak berbual di set,” katanya.
Sambil rancak mengatur langkah dalam dunia lakonan, peminat sebenarnya sudah mula rindu untuk mendengar suara Noki menyanyi semula.
Sudah agak lama sebenarnya dia tidak muncul dengan sebarang karya muzik baharu.
“Memang tidak ada lagu baharu sekarang. Saya rasa sudah dekat dua tahun rasanya tidak ada lagu baharu. Rindu itu memang ada dan mahu buat kemunculan semula balik dalam bidang nyanyian ini.
“Kalau boleh, saya tidak mahu buat kemunculan semula dengan cara macam dulu. Bukanlah maksud saya mahu bergerak secara solo selepas ini. Solo yang saya maksudkan itu adalah tidak mahu lagu baharu nanti jadi macam lagu dulu-dulu yang lebih kepada berlagak,” katanya.











