Lambakan lampu fototerapi yang dijual di media sosial sebagai rawatan jaundis bayi kini semakin mendapat perhatian ibu bapa.
Namun, peralatan yang ditawarkan di platform dalam talian itu tidak mempunyai jaminan memenuhi spesifikasi keselamatan dan keberkesanan yang diperlukan, sekali gus menimbulkan kebimbangan sekiranya digunakan tanpa pemantauan doktor.
Pakar pediatrik, Dr. Yong Junina Fadzil berkata, rawatan fototerapi bagi bayi yang mengalami jaundis menggunakan lampu biru dengan panjang gelombang 450 nanometer, selain spesifikasinya dipantau di hospital bagi memastikan bayi menerima rawatan pada frekuensi optimum.
Menurutnya, lampu yang dijual dalam talian tidak dapat dipastikan sama ada memenuhi kriteria keselamatan dan keberkesanan diperlukan untuk merawat jaundis.
“Bayi yang menjalani fototerapi juga memerlukan pemeriksaan tahap bilirubin secara berkala bagi menentukan sama ada rawatan boleh dihentikan atau perlu diteruskan dengan rawatan lebih intensif.
“Ibu bapa tidak disyorkan membeli lampu fototerapi dan merawat bayi sendiri tanpa mendapatkan pemeriksaan doktor serta rawatan fototerapi yang selamat dan berkesan,” katanya baru-baru ini.
Sekiranya ibu bapa tidak mahu bayi dimasukkan ke wad, doktor boleh mengesyorkan syarikat yang menyediakan perkhidmatan penyewaan lampu fototerapi di rumah.
“Juruteknik daripada syarikat berkenaan akan memastikan lampu yang dibekalkan memenuhi spesifikasi diperlukan serta selamat dan berkesan untuk digunakan,” katanya.

Bukan penyakit berjangkit
Mengulas mengenai jaundis, Dr. Yong Junina berkata, keadaan itu merujuk kepada kulit bayi yang kelihatan kuning akibat peningkatan paras bilirubin dalam badan dan bukan merupakan penyakit berjangkit.
Jaundis lazimnya berlaku dalam kalangan bayi baru lahir kerana hati mereka masih belum matang dan tidak dapat memproses bilirubin dengan efisien.
Katanya, tahap jaundis yang dianggap berbahaya bergantung kepada umur, berat badan, tahap kematangan dan taraf kesihatan bayi.
“Rawatan fototerapi tidak diberikan kepada semua bayi yang mengalami jaundis. Ia hanya dilakukan apabila bacaan bilirubin melebihi tahap tertentu dan tahap itu berbeza mengikut umur, kematangan, taraf kesihatan serta berat bayi,” katanya.
Beliau menjelaskan, rawatan fototerapi dilakukan dengan meletakkan bayi di bawah lampu biru tanpa pakaian, manakala mata mereka ditutup bagi melindungi penglihatan daripada kesan cahaya.
“Cahaya lampu akan diserap oleh kulit bayi dan membantu memecahkan bilirubin supaya ia dapat disingkirkan melalui air kencing dan najis,” katanya.
Bayi akan menjalani rawatan fototerapi sehingga bacaan bilirubin menurun ke paras yang tidak lagi memerlukan rawatan.
Selepas bacaan bilirubin menurun, rawatan akan dihentikan dan bayi dipantau selama 24 jam bagi memastikan tahap jaundis tidak meningkat semula. Sekiranya bacaan kekal rendah, bayi akan dibenarkan pulang.
Tambahnya, fototerapi yang menggunakan lampu mengikut spesifikasi dan dipantau oleh kakitangan perubatan adalah selamat serta berkesan.
Katanya, kesan sampingan yang kadangkala berlaku ialah najis menjadi cair dan kulit bayi menjadi gelap, namun kedua-dua kesan itu hanya bersifat sementara.
Penyusuan mencukupi
Dalam pada itu, ibu bapa perlu memastikan bayi mendapat susu secukupnya kerana penyusuan mencukupi membantu menurunkan paras bilirubin dengan lebih cepat.
Ibu yang menyusukan bayi perlu mengelakkan pengambilan jamu atau apa-apa ubatan tradisional kerana ia boleh menyebabkan jaundis menjadi lebih teruk.
“Sekiranya ibu tidak dapat memberikan susu badan, pastikan bayi mendapat susu formula secukupnya. Jangan berikan air kosong kerana ia tidak mengandungi khasiat,” jelasnya.
Dr. Yong Junina berkata, tiada kaedah yang boleh mencegah jaundis sepenuhnya, namun pemberian susu mencukupi dapat membantu mengawal peningkatan paras bilirubin.
Katanya, ibu juga perlu minum air secukupnya untuk memastikan penghasilan susu badan mencukupi.
Pemeriksaan segera
Ibu bapa perlu segera membawa bayi ke hospital sekiranya warna kuning semakin jelas dan merebak hingga ke bahagian perut, paha, betis dan kaki, atau apabila bayi tidak aktif serta kurang menyusu.
Selain jaundis biasa dalam kalangan bayi baru lahir, terdapat juga keadaan yang lebih membimbangkan.
Kes seperti ini biasanya disertai air kencing berwarna gelap dan najis yang pucat. Dalam keadaan tersebut, doktor akan mengambil sampel darah bagi mengenal pasti jenis jaundis yang dialami bayi.
Beliau menegaskan ibu bapa yang melihat tanda-tanda jaundis pada bayi perlu segera mendapatkan pemeriksaan di klinik bagi menilai tahap bilirubin dan mendapatkan rawatan sesuai.










