Hari ini kita dapat lihat kanak-kanak membesar dalam persekitaran yang jauh berbeza berbanding generasi terdahulu.
Jika dahulu ibu bapa perlu memantau siapa rakan yang ditemui anak-anak di luar rumah, kini cabarannya jauh lebih kompleks apabila sebahagian besar interaksi berlaku di sosial media.
Telefon pintar, permainan video serta kecerdasan buatan (AI) bukan lagi teknologi tambahan dalam kehidupan hakikatnya ia menjadi sebahagian penting bagi pembelajaran, komunikasi dan pembentukan identiti generasi muda.
Perkembangan tersebut membawa pelbagai manfaat termasuk akses kepada maklumat tanpa sempadan, peluang pembelajaran baharu serta ruang untuk membina komuniti berdasarkan minat yang sama.
Namun, muncul pelbagai persoalan mengenai keselamatan, kesejahteraan mental dan kesediaan ibu bapa untuk membimbing anak-anak mengenai dunia digital yang semakin rumit.
Perbincangan mengenai isu tersebut menjadi antara fokus utama Malaysia Cyberpsychology Symposium (MYCS) 2026 yang berlangsung di Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU), baru-baru ini.
Bertemakan Human Behaviour in the Digital Age: Society, Security and Systems, program itu menekankan cabaran digital masa kini tidak lagi berkisar kepada teknologi semata-mata tetapi turut melibatkan tingkah laku manusia.
Simposium yang julung kali diadakan ini berjaya menghimpunkan ahli akademik, pakar psikologi, penyelidik keselamatan siber, penggubal dasar dan pemain industri bagi membincangkan hubungan antara manusia, teknologi dan keselamatan digital.
Penolong Pengarah Kanan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Dr. Roszelinda Khalid berkata peningkatan penggunaan teknologi secara langsung memperluaskan ruang serangan yang boleh dieksploitasi oleh penjenayah siber.
“Semakin banyak sistem digital digunakan, semakin banyak peluang untuk penjenayah siber mencari dan mengeksploitasi kelemahan yang wujud.
“Justeru, keselamatan siber bukan lagi sekadar isu teknologi maklumat sebaliknya memberi kesan langsung kepada operasi organisasi, kepercayaan awam, kesinambungan perniagaan serta ketahanan negara,” katanya.
Ujar Roszelinda, AI turut menjadi landskap ancaman siber yang semakin berkembang dengan sangat pantas dan sukar dikesan.
Teknologi seperti deepfake membuatkan situasi ini memberi kesan kepada organisasi malah berpotensi menjejaskan kepercayaan masyarakat dan kestabilan negara.
Tingkah laku ibu bapa cermin penggunaan teknologi anak
Dalam konteks keluarga pula, ancaman digital bukan hanya datang dalam bentuk serangan siber malah ia juga melibatkan pendedahan kepada kandungan tidak sesuai, manipulasi algoritma, tekanan sosial dan krisis identiti yang semakin ketara dalam kalangan remaja.
Pensyarah Psikologi dan Penyelidik di Pusat Penyelidikan Sains Psikologi, De Montfort University, Dr. Emily Smith berkata, ibu bapa memainkan peranan penting sebagai model digital kepada anak-anak berikutan mereka belajar melalui pemerhatian terhadap tingkah laku orang dewasa di sekeliling mereka.
“Jika ibu bapa sentiasa menggunakan telefon pintar atau mempunyai hubungan yang kurang sihat dengan teknologi, anak-anak berkemungkinan besar akan meniru tingkah laku tersebut.
“Sebagai contoh, jika ibu bapa menggunakan telefon ketika makan bersama keluarga, anak-anak akan menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang normal dan boleh diterima,” katanya.
Beliau mengakui cabaran yang dihadapi ibu bapa hari ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana ramai ibu bapa sendiri tidak pernah menerima pendidikan formal mengenai penggunaan teknologi dan media sosial secara sihat.
Pada masa sama, perubahan teknologi berlaku terlalu pantas sehingga sukar untuk ibu bapa sentiasa memahami aktiviti anak-anak di alam maya.
Menurut Smith, pendekatan terbaik bukanlah melalui larangan secara keseluruhannya sebaliknya ibu bapa perlu membina ruang komunikasi yang terbuka dan selamat.
“Jika ibu bapa hanya melihatnya dari sudut negatif dan melarang penggunaan secara keseluruhan, anak-anak mungkin tidak lagi berasa selesa untuk berkongsi pengalaman mereka apabila berdepan masalah di platform tersebut,” katanya.
Beliau menjelaskan perbualan yang terbuka dan membina jauh lebih berkesan berbanding pendekatan yang menakutkan selain ia selari dengan pendekatan yang semakin diketengahkan oleh pakar siber dan psikologi iaitu pembentukan daya tahan digital.
Pendekatan itu memberi penekanan kepada kemampuan individu untuk menggunakan teknologi secara bertanggungjawab, mengenal pasti risiko dan pulih apabila berdepan cabaran digital.

Tanggungjawab bersama
Dalam konteks nasional, Malaysia turut memperkukuhkan usaha tersebut melalui Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) 2025-2030.
Strategi berkenaan dibangunkan berasaskan empat teras utama iaitu tadbir urus dan perundangan, perlindungan serta daya tahan, pembangunan kapasiti dan inovasi serta budaya dan rakyat.
Selain aspek keselamatan, isu identiti digital turut menjadi perhatian apabila generasi muda kini membesar dalam persekitaran yang sentiasa dipengaruhi oleh media sosial.
Kata Smith, proses pencarian identiti merupakan sebahagian penting daripada perkembangan remaja berikutan teknologi boleh menjadi faktor yang membantu atau menghalang proses tersebut bergantung kepada cara penggunaannya.
“Jika seseorang sentiasa membandingkan diri dengan orang lain di media sosial, ia mungkin memberi kesan negatif terhadap pembentukan identiti diri.
“Namun pada masa sama, media sosial juga membuka peluang untuk individu berhubung dengan komuniti yang mempunyai minat dan pengalaman sama,” katanya.
Tambahnya, media sosial mempunyai kelebihan dan kekurangan yang perlu difahami secara seimbang serta keselamatan siber bergantung kepada individu sendiri.
Permainan video bukan punca anak agresif
Sementara itu, Smith menolak tanggapan permainan video ganas menjadi punca kepada tingkah laku agresif dalam kehidupan sebenar.
“Permainan video ganas sering dijadikan kambing hitam kepada pelbagai masalah sosial hakikatnya banyak kajian yang dijalankan secara saintifik dan teliti tidak menemukan bukti kukuh permainan video ganas menjadi punca utama seseorang bertindak agresif dalam kehidupan sebenar,” katanya.
Tugas membimbing generasi muda tidak boleh diletakkan di bahu ibu bapa semata-mata sebaliknya ia memerlukan kerjasama sekolah, universiti, industri teknologi, pembuat dasar dan agensi seperti NACSA.
Seperti yang ditegaskan oleh Roszelinda, masa depan pertahanan digital tidak hanya bergantung kepada teknologi sebaliknya ia memerlukan tadbir urus yang baik, kesiapsiagaan dan tanggungjawab bersama.
Dalam erti kata lain, melindungi anak-anak di era digital bukan sekadar memastikan mereka selamat daripada ancaman siber.
Ia juga tentang membantu mereka membesar sebagai individu yang mempunyai literasi digital, kesejahteraan mental dan keupayaan membuat keputusan yang sihat dalam dunia yang semakin kompleks.

Sosial media penanda aras keyakinan anak-anak
Bagi Profesor Adjung APU merangkap Pengerusi Cyberpsychology Research Group (CRG), School of Public Health, University of Sydney, Profesor Dr Andrew J. Campbell berkata, perbincangan mengenai teknologi tidak seharusnya hanya tertumpu kepada kecanggihan sistem semata-mata.
Katanya, generasi muda hari ini sedang membesar dalam dunia yang jauh berbeza berbanding generasi terdahulu apabila teknologi digital menjadi sebahagian daripada kehidupan seawal usia kanak-kanak.
Teknologi sememangnya membawa pelbagai manfaat namun kita tidak boleh lari daripada kesan jangka panjangnya terhadap kehidupan manusia.
“Kita terlalu cepat menerima teknologi dan menganggap ia selamat atau akan menjadikan kehidupan lebih baik hakikatnya kita perlu melihat perkara ini dengan lebih mendalam,” katanya.
Menurut beliau, Malaysia merupakan antara negara dengan kadar penggunaan teknologi digital sangat tinggi dalam kalangan golongan muda sekali gus menunjukkan generasi sekarang semakin bergantung kepada teknologi untuk mendapatkan maklumat, berhubung dengan rakan-rakan dan menjalankan aktiviti harian.
Beliau berkata, ramai remaja hari ini mahir menggunakan aplikasi, media sosial dan pelbagai platform digital namun kurang memahami cara algoritma berfungsi atau bagaimana kandungan dalam talian mempengaruhi pemikiran mereka.
Media sosial sering memaparkan kandungan yang membentuk persepsi tertentu mengenai kecantikan, kejayaan dan gaya hidup.
Katanya, keadaan itu menyebabkan ramai anak muda mula membandingkan diri mereka dengan individu lain yang dipaparkan secara berterusan dalam sosial media.
Situasi tersebut boleh memberi kesan kepada keyakinan diri, kesejahteraan emosi dan kesihatan mental jika tidak ditangani dengan baik.
Campbell berkata, ramai remaja kini mendapatkan pengesahan diri melalui jumlah tanda suka, komen dan pengikut di media sosial.
Katanya, fenomena itu menunjukkan bagaimana nilai diri semakin bergantung kepada pengiktirafan luaran berbanding keyakinan yang dibina dari dalam diri sendiri.
Ujarnya, generasi muda perlu diajar untuk membina daya tahan emosi dan keyakinan diri sebelum bergantung kepada penilaian orang lain di platform digital.
Namun, beliau tidak melihat teknologi sebagai sesuatu yang perlu dijauhi sebaliknya teknologi perlu digunakan secara seimbang bagi membantu perkembangan manusia dan memperkasakan potensi dimiliki oleh generasi muda.










