PARLIMEN: 'Kenapa semua soalan untuk Perdana Menteri dari pihak kerajaan?'

PARLIMEN: ‘Kenapa semua soalan untuk Perdana Menteri dari pihak kerajaan?’

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembangkang mempersoalkan ketelusan sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat selepas kedua-dua soalan yang dipilih untuk sesi persidangan hari ini hanya daripada Ahli Parlimen kerajaan.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN–Kota Bharu) membangkitkan perkara itu di bawah Peraturan Mesyuarat 24A apabila tidak wajar apabila semua soalan semasa sesi PMQT hanya daripada pihak kerajaan semata-mata.

“Hari ini ada dua soalan, kedua-duanya daripada Ahli Parlimen kerajaan. Sepatutnya ada tiga, tetapi kalau dua pun, sekurang-kurangnya satu diberi kepada pihak pembangkang. Pembangkang masih wujud dalam Dewan ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau mendakwa soalan yang dikemukakan oleh pihak pembangkang tidak dipilih selama beberapa minggu.

“Ini bukan kali pertama. Pada 30 Oktober, tiada soalan kami dipilih. Pada 4 November juga tiada. Dan hari ini, 11 November juga sekali lagi tiada satu soalan daripada pembangkang yang disenaraikan.

“Untuk rekod, kami telah menghantar soalan dalam tempoh masa ditetapkan, tetapi tidak disenaraikan. Saya tidak fikir Perdana Menteri tidak mampu menjawab soalan daripada pembangkang kerana beliau boleh menjawab di pasar malam di Sabah,” katanya.

Takiyuddin turut mempersoalkan sama ada Yang Dipertua Dewan Rakyat atau kementerian berkaitan yang menentukan soalan untuk sesi berkenaan.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, beliau sendiri bertanggungjawab terhadap pemilihan soalan bagi sesi berkenaan.

“Pemilihan soalan adalah tanggungjawab saya. Sehingga tarikh akhir, pihak pembangkang hanya menghantar satu soalan, manakala Ahli Parlimen kerajaan menghantar lapan soalan.

“Sudah tentu saya meneliti semuanya. Malah, beberapa soalan pembangkang sudah pun dijawab pada 29 dan 30 Oktober. Jawatankuasa Pilihan Khas juga telah memanggil Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk hadir esok bersama pegawai kanan berkaitan,” katanya.

Johari berkata, keadilan diukur berdasarkan jumlah soalan yang dikemukakan.

“Adakah adil jika saya memilih soalan kamu sedangkan kamu hanya hantar satu? Kalau satu pihak hantar lapan, logiknya saya pilih dari situ. Itu masuk akal,” katanya.

Bagaimanapun, Takiyuddin berkata, walaupun tiada peraturan yang mewajibkan soalan pembangkang dipilih, prinsip keadilan tetap perlu dijaga. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×