PUTRAJAYA: Pahang kini sedang melengkapkan pelbagai projek infrastruktur penting sebagai persediaan menarik pelabur ke negeri itu.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, persediaan itu kini dilaksanakan secara berperingkat-peringkat sekali gus menjadikan Pahang sebagai Gerbang Pelaburan ke Rantau Timur (East Gateway).
“Kita panggil Invest Pahang supaya dapat mempermudahkan pelabur-pelabur yang ingin melabur di negeri Pahang,” katanya ketika ditemui selepas hadir pada Majlis Hi-Tea Program Jaminan Kerjaya di sini, hari ini.
Sebelum ini, Wan Rosdy dilaporkan berkata, Pahang bersedia menjadi pintu kepada Gerbang Pelaburan ke Rantau Timur dan menjadi lokasi tumpuan pelabur dari seluruh dunia.
Menurutnya, Pahang dilengkapi dengan sumber asli yang luas dan mempunyai infrastruktur dan kemudahan awam yang baik serta kawasan tanah Perindustrian yang besar dan mampu menarik pelaburan.
Katanya, Pahang bersedia untuk menggantikan Singapura sebagai Pusat Sehenti Industri dan Perkhidmatan berikutan pelabur boleh terus mengimport dan mengeksport ke negara seperti China, Jepun dan Amerika Syarikat tanpa melalui Selat Melaka. – UTUSAN










