Pengakap Malaysia nafi terlibat beri anugerah kebesaran di Perlis

Pengakap Malaysia nafi terlibat beri anugerah kebesaran di Perlis

Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) menafikan sebarang penglibatan dalam kes rasuah berkaitan penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat di Perlis, dan memandang serius cubaan mengaitkan organisasi itu dengan kegiatan yang menyalahi undang-undang.

PPM dalam kenyataan berkata, pihaknya langsung tidak mempunyai kaitan dengan penahanan seorang penjawat awam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan menerima rasuah bagi urusan penganugerahan pingat sebuah pertubuhan beruniform sukarela pada 2024.

“Sehubungan itu, kami menegaskan bahawa istiadat penganugerahan bintang dan pingat yang diadakan di Perlis pada 6 Mac 2024 adalah tanpa pengetahuan, kebenaran atau kelulusan rasmi pihak kami.

“PPM tidak pernah mengiktiraf, meluluskan atau terlibat dalam sebarang penganugerahan tersebut, dan ia tidak tersenarai dalam mana-mana rekod rasmi pingat PPM,” katanya hari ini.

PPM berkata, tiada sebarang senarai penerima pernah diluluskan dan organisasi itu sama sekali tidak pernah mengeluarkan bintang atau darjah yang menggunakan gelaran ‘Dato’ Setia Pengakap’.

“Selain itu, PPM tidak pernah memberi mandat atau kuasa kepada mana-mana pihak, termasuk mana-mana entiti pada peringkat negeri untuk menganugerahkan sebarang bintang atau pingat bagi pihak organisasi.

“Sebarang penggunaan nama, lambang atau kaitan dengan PPM bagi tujuan penganugerahan tanpa kelulusan rasmi adalah satu penyalahgunaan yang serius dan boleh menjejaskan integriti organisasi,” katanya.

Pada masa sama, PPM juga memberi amaran bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati terlibat dalam penganugerahan tidak sah.

Katanya, ia termasuk mereka yang memberi, menerima atau mempromosikan anugerah berkenaan, selaras dengan Seksyen 13 Akta Persekutuan Pengakap-Pengakap Malaysia (Pemerbadanan) 1968.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14 akta yang sama.

“PPM menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan bebas, serta akan memberikan kerjasama penuh sekiranya diperlukan.

“Kami kekal komited untuk mempertahankan integriti, kredibiliti dan nama baik organisasi serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku atau penyalahgunaan nama Pengakap Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN