JERANTUT: Kira-kira 5,000 pekebun kecil sawit dan getah di daerah ini tertekan ekoran kenaikan sewa pengangkutan hasil ke pusat pengumpulan dan kilang akibat kesan kenaikan harga diesel.
Kadar sewa lori di beberapa tempat kini mencecah RM85 bagi satu tan metrik hasil sawit berbanding sebelum ini RM70 bagi kadar berat sama.
Pengerusi Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) Pahang, Anuar Mustakim berkata, kenaikan kadar sewa pengangkutan sebanyak RM15 bagi satu tan metrik hasil membebankan pekebun kecil sawit yang tidak mempunyai kenderaan sendiri.
“Bayangkan sekiranya muatan sawit seberat empat tan metrik, kami perlu mengeluarkan upah sewa sebanyak RM340 berbanding sebelum ini cuma RM280.
“Ini menyebabkan pekebun kecil sawit dan getah mengalami defisit pendapatan akibat kenaikan upah sewa lori termasuk berdepan cuaca musim panas dan buah melawas,” katanya kepada Utusan Malaysia di Felda Sungai Tekam Utara, dekat sini.
Seorang pekebun getah Kampung Pagi, Mustaha Abdullah, 40, dia berdepan upah pengangkutan berganda untuk membawa hasil getah dari kawasan pedalaman ke bandar Jerantut.
“Selepas kenaikan diesel, kadar upah membawa hasil getah dikenakan caj 60 sen bagi sekilogram berbanding sebelum ini cuma 30 sen bagi berat yang sama.
“Setiap minggu saya menjual getah beku atau sekerap ke bandar Jerantut dengan berat kira-kira 150 kilogram,” katanya. – UTUSAN










