PETALING JAYA: Penurunan harga minyak mentah global ketika ini tidak akan menyebabkan harga bahan api domestik turut turun serta merta.
Malah, pelarasan harga bahan api hanya dijangka berlaku dalam tempoh antara satu hingga tiga bulan bergantung kepada beberapa faktor termasuk struktur kos, mekanisme penetapan harga serta kedudukan stok sedia ada di pasaran.
Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, dari segi kos inventori, syarikat minyak membeli minyak mentah atau produk siap seperti petrol dan diesel lebih awal melalui kontrak jangka pendek atau sederhana iaitu sekitar satu hingga tiga bulan sebelum dipasarkan.
“Ini bermakna bahan api yang dijual di stesen ketika ini berasal daripada stok yang dibeli ketika harga masih tinggi. Jika harga diturunkan terlalu cepat, syarikat akan mengalami kerugian kerana terpaksa menjual di bawah kos sebenar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, beliau berkata, harga bahan api juga ditentukan melalui formula rasmi kerajaan yang mengambil kira beberapa komponen seperti harga minyak mentah rujukan (Brent atau Mean of Platts Singapore), kadar pertukaran mata wang, kos pengangkutan dan pengedaran serta cukai dan margin pengendalian.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tempoh ‘lag’ antara perubahan harga minyak mentah dan harga runcit berbeza mengikut jenis bahan api.
“Bagi bahan api tidak bersubsidi, pelarasan biasanya mengambil masa dua hingga empat minggu kerana harga ditentukan berdasarkan purata serta keperluan menghabiskan stok sedia ada.
“Namun bagi bahan api bersubsidi atau dikawal kerajaan, tempoh itu boleh mencecah antara satu hingga tiga bulan bergantung kepada pertimbangan fiskal, kestabilan inflasi serta keupayaan kerajaan menampung pampasan kepada syarikat tenaga,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, dari sudut ekonomi, terdapat tempoh ‘lag’ atau kelewatan sebelum penurunan harga minyak mentah global diterjemahkan kepada harga runcit pengguna.
Katanya, tempoh tersebut lazimnya sekitar dua hingga enam minggu bergantung kepada beberapa faktor seperti kitaran inventori, kaedah penetapan harga sama ada berdasarkan purata mingguan atau bulanan serta tahap campur tangan kerajaan dalam menstabilkan harga. – UTUSAN










