PETALING JAYA: Kerajaan dicadangkan untuk meneliti pelaksanaan semula moratorium pinjaman bank secara bersasar bagi membantu meringankan tekanan kewangan rakyat.
Timbalan Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Fikri Aziz berkata, cadangan itu dibuat susulan keadaan ekonomi semasa yang dipengaruhi ketidaktentuan geopolitik global sekali gus memberi kesan kepada aliran tunai isi rumah.
Katanya, ramai rakyat kini berdepan kesukaran mengurus perbelanjaan harian serta komitmen kewangan sedia ada.
“Moratorium ini bukan penghapusan hutang, sebaliknya penangguhan bayaran sementara bagi memberi ruang kepada rakyat menyusun semula kedudukan kewangan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fikri yang juga Ketua Cabang PKR Putrajaya berkata, lebihan tunai hasil penangguhan bayaran itu boleh digunakan untuk keperluan asas, selain berpotensi meningkatkan semula kuasa beli rakyat.
Katanya, peningkatan perbelanjaan domestik susulan langkah itu turut dijangka memberi manfaat kepada perniagaan tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Bagaimanapun, pelaksanaan moratorium perlu dilakukan secara bersasar dengan memberi keutamaan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, termasuk segmen B40 serta sebahagian M40 yang terjejas.
“Pendekatan menyeluruh tidak wajar dilaksanakan kerana perlu mengambil kira keseimbangan antara membantu rakyat dan mengekalkan kestabilan sistem kewangan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, kerjasama antara kerajaan, Bank Negara Malaysia dan institusi kewangan adalah penting bagi memastikan pelaksanaan langkah itu tidak menjejaskan sektor perbankan negara. – UTUSAN










