PETALING JAYA: Seramai 398 individu ditahan selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggempur 118 pusat hiburan di seluruh negara pada Jumaat dan Sabtu lalu.
Serbuan Op Noda dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama JSJ kontinjen negeri dengan dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pihak berkuasa tempatan.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, hasil pemeriksaan 118 premis pusat hiburan, sebanyak 103 premis didapati tidak mempunyai lesen hiburan sah.
“Polis telah menahan seramai 398 orang terdiri daripada lima pemilik premis, tiga pengurus premis, 150 pekerja, 112 pelanggan dan 128 pelayan pelanggan atau gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing.
“Kesemua yang ditahan membabitkan 87 warga tempatan serta 311 warga asing,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Beliau berkata, polis merampas sejumlah wang tunai dan pelbagai peralatan bagi tujuan hiburan.
Katanya, kesemua tangkapan berusia lingkungan 19 hingga 55 tahun telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berhampiran untuk dokumentasi.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 76 Akta Eksais 1976, Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, enakmen hiburan serta ordinan hiburan negeri,” ujarnya.
Katanya, PDRM menegaskan bahawa operasi seumpama ini akan terus dipergiatkan bagi memastikan pusat hiburan beroperasi mengikut syarat lesen dan orang ramai digesa menyalurkan maklumat bagi membanteras kegiatan ini.-UTUSAN










