KOTA KINABALU: Mesyuarat pertama rundingan mengenai pemberian khas berdasarkan 40 peratus hasil Sabah dijadual berlangsung di sini hari ini.
Mesyuarat itu akan dihadiri Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong bagi menyelesaikan perkara teknikal yang tertunggak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, rundingan akan dimulakan di peringkat pegawai yang diketuai Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi pihak Kerajaan Persekutuan.
Armizan merupakan wakil Menteri Kabinet Persekutuan dari Sabah bagi Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang sebelum ini disandang Datuk Ewon Benedick.
Pada Selasa lalu, kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap Pemberian Khas Negeri Sabah berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana diputuskan dalam Permohonan Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society terhadap Kerajaan Malaysia.
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu memutuskan Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan dan membayar semula Hak Tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah mengikut Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah membenarkan permohonan SLS dan mengarahkan Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan semakan kadar pemberian khas tersebut dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan pembayaran dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.
Mahkamah turut membatalkan sebahagian keputusan yang terkandung dalam tiga Warta Persekutuan, masing-masing bertarikh 20 April 2022, 24 Disember 2023 dan 27 Ogos 2025 kerana didapati bercanggah dengan kedudukan Perlembagaan mengenai pemberian khas Sabah.-UTUSAN










