Marang paling terjejas, mangsa banjir Terengganu cecah 2,800 orang

Marang paling terjejas, mangsa banjir Terengganu cecah 2,800 orang

PENDUDUK membawa barang berharga berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka ditenggelami banjir di Taman Perumahan Awam Kos Rendah Bukit Payung,  Marang, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU:  Marang menjadi daerah paling terjejas banjir di negeri ini apabila seramai 1,718 mangsa daripada 528 keluarga berlindung di lapan pusat pemindahan sementara (PPS), setakat pukul 5 petang ini.

Secara keseluruhan, seramai 2,848 mangsa daripada 904 keluarga ditempatkan di 36 PPS yang dibuka di enam daerah di seluruh Terengganu.

Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan, selain Marang, banjir turut menjejaskan daerah Setiu dengan 662 mangsa dipindahkan ke 15 PPS, Besut (203 mangsa, enam PPS), Kuala Terengganu (127 mangsa, sebuah PPS), Dungun (79 mangsa, tiga PPS) dan Hulu Terengganu sejumlah 59 mangsa yang berlindung di tiga PPS.

Antara kawasan terjejas di Marang adalah Kampung Simpang Rawai, Alor Limbat, Padang Limau Nipis dan Taman Perumahan Awam Kos Rendah Bukit Payung.

Peningkatan ketara jumlah mangsa itu ekoran hujan berterusan sejak malam tadi sehingga ada kawasan yang lambat dinaiki air pada tahun-tahun sebelum ini, sudah tenggelam.

Sementara itu, enam sungai di Terengganu melepasi paras bahaya iaitu Sungai Besut di Kampung La; Jambatan Keruak di Sungai Besut,;Sungai Setiu di Kampung Besut; Sungai Chalok di Jambatan Chalok; Sungai Besut di Kampung La dan Sungai Besut di Kampung Keruak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN