KLANG: Lorong Kepayang di belakang ‘Bus Stand Klang’ yang terkenal dalam kalangan warga asing disyaki menjadi pusat kegiatan jenayah termasuk pelacuran, pengedaran dadah, rokok seludup dan penjualan arak tidak berlesen.
Menerusi pemeriksaan dilakukan oleh pihak berkuasa dalam satu operasi bersepadu di sini, hari ini mendapati rokok seludup dan minuman keras dijual di kedai-kedai penjualan pelbagai barangan.
Bagaimanapun, penjualan barangan tidak sah itu tidak dipamerkan secara terang-terangan, sebaliknya dijual berdasarkan kepada permintaan pelanggan yang memesannya di kaunter bayaran.
Malah, pihak berkuasa turut mengesan kegiatan pengedaran dadah apabila serbuk dan ketulan kristal dadah sintetik iaitu dipercayai syabu yang dibungkus menggunakan wang kertas RM1 ditemukan dekat kaunter gerai jual sireh.
Selain itu, dalam operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) turut menemukan sarang pelacuran dekat sebuah hotel murah di lorong sama.
Ketika serbuan, kondom, gel pelincir dan pelbagai barangan seksual lain ditemukan dekat setiap 20 bilik di tingkat satu dan dua rumah kedai berkenaan yang didakwa menawarkan khidmat persundalan kepada warga asing pada kadar serendah RM20 hingga RM40.
Malah, seorang lelaki dipercayai warga Myanmar berusia 32 tahun didapati terpaksa membatalkan hasrat untuk melempiaskan nafsunya di lokasi itu apabila dia ditemukan terkunci dalam sebuah bilik air,
Namun ketika serbuan premis tersebut kosong apabila penghuni dan pekerjanya dipercayai sempat melarikan diri.
“Saya bukan pekerja di situ. Saya cuma datang. Tetapi ketika berada dalam bilik air, pintu dikunci dari luar,” ujarnya.

Dalam operasi tersebut, lebih 1,000 warga asing terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Nepal dan India ditahan dan diperiksa ketika serbuan terhadap puluhan gerai dibuat termasuk kedai runcit, pakaian, barangan elektrik dan elektronik, restoran dan sebagainya.
Malah ada antara pengunjung di kawasan itu adalah seorang warga Bangladesh berusia 33 merupakan mahasiswa doktor falsafah sebuah universiti awam dalam bidang pengurusan hospitaliti.
Menurut Morsid Alam yang tinggal di Serdang Raya, dia datang ke Lorong Kepayang bagi membeli tiket penerbangan pulang ke kampungnya menjelang cuti semester pada bulan depan.
“Saya seorang mahasiswa sepenuh masa, sedang dalam semester kedua pengajian. Saya datang ke sini untuk membeli barang dan tiket penerbangan daripada ejen pelancongan bulan depan. Akan kembali semula ke sini pada Oktober nanti,” ujarnya.
Sementara itu, turut ditemukan adalah seorang warga Myanmar, Kan Cung Nung, 40, yang mengaku bukan etnik Rohingya namun memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Sekitar tahun 2013, saya pernah kena serbu ketika berada di Melaka. Kemudian ada orang UNHCR benarkan saya daftar dan menyerahkan kad tersebut. Jadi, apabila ada pemeriksaan pihak berkuasa, saya tunjukkan kad UNHCR,” katanya.
Tambahnya, dia sudah berada di negara ini lebih 10 tahun lalu dengan melakukan pelbagai pekerjaan dan kini lelaki itu bekerja sebagai pekerja pembersihan di Puchong. – UTUSAN










