SHAH ALAM: Insiden buli yang tular dalam media sosial dipercayai membabitkan sekumpulan pelajar sekolah menengah di Rawang baru-baru ini berada dalam perhatian polis dan Jabatan Pendidikan (JPN) Selangor.
Jabatan itu dalam kenyataannya berkata, pihaknya tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan murid.
“JPN Selangor mengambil perhatian serius mengenai penularan video berkaitan insiden yang melibatkan salah laku murid di sebuah sekolah di Rawang baru-baru ini.
“Insiden ini sedang berada dalam perhatian pihak Polis dan JPN Selangor memberi kerjasama penuh terhadap proses siasatan yang sedang berjalan,” katanya di sini, hari ini.
Jelas JPN Selangor, pihaknya tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan murid.
“Tiada siapa yang akan dilindungi. Sesiapa sahaja yang didapati bersalah akan diambil tindakan tegas selaras dengan peraturan sedia ada.
“Orang ramai dinasihatkan agar menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa,” ujarnya.
Terdahulu, tular rakaman memaparkan seorang pelajar berkopiah putih membuli dan membelasah pelajar lelaki lain sambil disaksikan dan dirakamkan oleh sekumpulan pelajar lain yang menyaksikan kejadian itu. – UTUSAN










