Taktiknya tempang

Taktiknya tempang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Halil melongo. Di depannya bercawan-cawan kopi. Bukan kerana dia tidak mahu tidur, tetapi dia memang tidak boleh tidur. Di depannya, televisyen riuh menyiarkan perlawanan bola sepak. Di depannya juga, kerusi dan meja tidak berpenghuni. Lampu-lampu di siling tampak malap. Cengkerik menyanyi. Malam masih sepi.

Di depan cawan-cawan kopi itu sebenarnya, Halil memerah fikiran, mencari formula apakah yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah di depannya itu. Semakin banyak cawan kopi diminumnya, semakin buntu dia.

Mariam yang dari tadi menahan mengantuk, berjalan menuju ke arah suaminya, niatnya mahu mengemaskan cawan-cawan itu. Sudah agak lama dia perhatikan cawan-cawan itu. Makin dipandang makin sakit hatinya.

“Macam mana ni bang? Seorang pun tak datang.” Mariam, isterinya yang berkult cerah, alis tipis dengan tahi lalat di dagu, segera mencapai satu demi satu cawan dan diletakkannya di atas dulang.

“Entahlah, Yam. Itulah yang aku hairankan.” Sempat juga Halil mengerling Mariam dengan ekor matanya yang sepet itu.

Bunyi cengkerik yang merdu sudah jadi bingit dan menyakitkan hati. Sorakan penyokong di televisyen dirasakan bagai mengejeknya pula. Halil menggosok wajahnya berkali-kali, antara mahu menahan mengantuk atau sudah mula terasa bosan.

“Sepatutnya ada orang datang, tapi aneh ya? Sampai sekarang masih sunyi. Dulu tak macam ini,” keluh Mariam, sambil menjeling ke arah televisyen yang masih menyiarkan perlawanan bola sepak.

Sekarang ini sudah musim Piala Dunia. Biasanya restoran atau kedai makan akan menjadi tumpuan untuk menonton perlawanan bola sepak hingga ke awal pagi sambil menikmati juadah, sama ada hidangan ringan atau berat. Mereka berbual, bersorak dan menikmati makanan bersama-sama.

Namun keadaan sudah jadi terbalik. Kedai makannya langsung tidak berpengunjung. Dia sudah buka siaran bola sepak dengan bunyi yang kuat, tetapi seolah-olah tiada yang menyedari kejohanan bola sepak ulung itu sudah bermula.

“Entah-entah sebab Amerika jadi tuan rumah tak? Orang semua boikot.” Cemik Mariam, mengutarakan hipotesisnya.

Sangka Mariam, krisis yang berlaku di antara Amerika Syarikat dan Iran yang membawa kepada penutupan Selat Hormuz, menjadi punca barang-barang naik harga dan Amerika perlu dipersalahkan dalam hal ini, walaupun mereka juga yang menganjurkan Piala Dunia bersama-sama Kanada dan Mexico.

“Eh, awak ini. Pandai-pandai saja. Takkanlah sebab itu. Cuba awak tengok di TV tu, ada tak stadium kosong? Penuh lagi adalah,” bangkang Halil sebelum minum kopi yang bersisa daripada cawan-cawan yang masih belum diangkat Mariam.

“Ini mesti ada sebab lain.”

Semakin buntu Halil memikirkan ‘sebab lain’ yang menjadi punca kedai makannya tidak dikunjungi ketika perlawanan Piala Dunia. Keadaan seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini. Malah, pada Piala Dunia tahun lalu, kedai makannya penuh dengan penonton hingga dia terpaksa menambah kerusi dan meja. Kedainya tidak memiliki skrin besar tetapi televisyen bersaiz 50 inci sudah memadai untuk membuatkan pelanggannya bertahan hingga ke akhir perlawanan.

Dia masih ingat tatkala Argentina menjulang kejuaraan Piala Dunia edisi lalu, selepas jaringan hatrik bintang Perancis, Kylian Mbappe gagal menyelamatkan mereka daripada terikat 3-3, sebelum penentuan penalti menyaksikan Argentina menang 4-2. Puas hatinya apabila melihat pelanggan-pelangganya meraikan kemenangan kelab La Albiceleste, kebanyakannya menyarung jersi Lionel Messi bernombor 10.

Malah pada edisi 2010, tatkala kedai makannya itu masih dikendalikan arwah bapanya, Haji Ghani, suasana meriah dengan penyokong yang bukan saja bersorak, tetapi juga meniupkan vuvuzela, sejenis trumpet yang popular ketika itu.

Namun tahun ini, dia benar-benar hilang punca.

“Sudahlah Mariam. Kita tutup sajalah. Nanti aku fikirkan. Suruh budak-budak berkemas,” kata Halil sebelum mencari alat kawalan jauh untuk menutup televisyen. Perlawanan di antara Mexico dengan Afrika Selatan itu baru saja berakhir dengan kemenangan 2-0. Dia menonton buat beberapa ketika sebelum menekan butang.

Dua hari kemudian, suasana di kedai makan Halil benar-benar berubah. Hampir seluruh bahagian kedai makan itu digantung dengan bendera-bendera kecil, 48 negara yang bertanding untuk

Piala Dunia kali ini. Bukan seorang dua yang menoleh apabila melintas di depan kedainya. Ada yang tersenyum dan ada yang terus berjalan.

Halil senyum puas. Strateginya mula menampakkan kesan. Dua meja dipenuhi pelanggan, kebetulannya ada beberapa pekerja kilang yang pulang lewat malam tetapi mahu bersantai di kedainya sebelum pulang ke rumah masing-masing. Namun dia berharap ramai lagi yang akan datang ke kedainya. Dia sedar, mereka bukan peminat bola sepak sejati.

Keesokan malamnya, kedai makannya diserikan tulisan memperkenalkan menu-menu baru yang diharap berjaya memancing perhatian orang kampung.

Nasi Goreng Messi (RM7)
Mee Goreng Ronaldo (RM7)
Bihun Goreng Mbappe (RM7)
Mi Kari Haaland (RM8)
Mi Sup Salah (RM8)

Senarai panjang menu itu digandingkan bersama dengan nama bintang bola sepak dunia yang beraksi di Piala Dunia kali ini.

“Abang Halil, saya nak Nasi Goreng Messi.”

“Saya nak Mi Goreng Ronaldo, nasi putih, Telur Dadar De Bruyne dan Tom Yam Kane.”

Ada yang tertawa. Namun ramai yang teruja untuk mencuba. Apa yang pasti, Halil sudah dapat merasakan perubahan. Mariam lega suaminya tak pening lagi. Pekerja-pekerja semakin sibuk di dapur. Pengunjung yang biasanya datang pada waktu malam akan terus menunggu hingga waktu siaran Piala Dunia berlangsung. Taktikal Halil nampaknya menjadi tetapi dia masih belum puas hati. Dia perlu merancang sesuatu untuk ‘mengikat’ mereka.

“Eh, Abang bawa apa tu?” Tegur Mariam apabila melihat suaminya pulang dengan begitu banyak barang di dalam kereta, beberapa hari berikutnya. Halil senyum.

Apabila Mariam merapati kereta suaminya, matanya terbeliak melihat begitu banyak hamper.

“Apa ini, bang? Nak bagi pada siapa?” Mariam mula membibitkan pertanyaan.

“Adalah. Minta Farid keluarkan meja dan letak semua hamper ini. Panggilkan Tahir juga, minta dia gantungkan ini di depan,” arah Halil yang masuk semula ke dalam kereta untuk mengambil sesuatu. Mariam angguk.

TEKA SKOR PIALA DUNIA – HADIAH HEBAT MENANTI!

Mariam melihat pemidang yang berkibar disentuh angin itu dengan rasa kagum. Halil apatah lagi.

Malam itu, kedai makan Halil dikunjungi pelanggan lebih ramai daripada biasa. Semuanya ingin menyertai pertandingan yang dianjurkan Halil. Halil memberitahu pengunjung, mereka boleh menyertai pertandingan itu dengan berbelanja sebanyak RM50 di kedai makannya dalam satu resit. Ada yang mengeluh tetapi ramai juga yang ‘terliur’ selepas melihat hamper-hamper yang bersusun di depan mereka.

Perlawanan di antara Jerman dan Curacao berlangsung. Nasi Goreng Messi, Mi Goreng Ronaldo, Tom Yam Kane dan Mi Sup Salah bergilir-gilir sampai ke meja pelanggan. Halil dan Tahir mengira harga dari meja ke meja sebelum memberikan borang untuk diisi dengan ramalan jaringan sebelum mengambilnya semula beberapa minit kemudian.

Suasana kini bukan saja meriah dengan sorakan tetapi juga dengan keterujaan untuk memenangi salah satu hamper yang disediakan Halil. Mariam di kaunter memerhatikan kemeriahan di kedai makannya sambil tersenyum.

Pak Hamid menjadi insan paling bertuah malam itu apabila berjaya meneka dengan tepat jaringan untuk perlawanan yang menyaksikan Jerman berpesta gol apabila membelasah Curacao 7-1. Tersengih-sengih Pak Hamid mengangkat hamper ke motosikalnya

* * *

Beberapa hari kemudian.

“Eh, motor siapa tu bang?” soal Mariam apabila melihat sebuah motosikal diturunkan daripada lori yang tiba-tiba berada di depan kedai mereka. Halil yang juga baru sampai, berlari mendapatkan motosikal itu. Hatinya berbunga.

“Motor ini untuk kedai kitalah,” ujar Halil. “Abang nak jadikan hadiah untuk pertandingan, waktu perlawanan akhir.”

“Wah, banyaknya duit abang!” Tegur Mariam. “Entah-entah abang…”

“Sudahlah, abang guna duit abang. Abang laburlah sedikit untuk kedai kita ini. Nampak tak, orang dah makin ramai datang. Awak tak gembira ke?” Dalih Halil sambil mengeluarkan beberapa barangan elektrik daripada kereta.

“Yang ini pun?” Mariam seakan tidak puas hati dengan penjelasan suaminya.
Halil hanya mengangguk.

Malam itu, kedai makan Halil menjadi semakin meriah dengan semakin ramainya pelanggan yang datang, semata-mata mahu melihat hadiah-hadiah baru yang ditawarkan Halil kali ini. Pusingan peringkat kumpulan sudah berlalu, perlawanan pusingan berikutnya menjadi semakin mendebarkan. Masing-masing sudah mula mencongak pasukan mana yang akan mara ke perlawanan akhir.

Ada pasukan yang menepati ramalan, tidak kurang pula yang membuatkan penyokong kecewa.

Namun, Halil tidak peduli. Apa yang penting, kedai makannya terus dikunjungi. Pelanggan seperti Pak Hamid terus mencipta tuah apabila ramalannya mengena. Semakin gembira pula dia pulang dengan hamper, mesin pengisar dan pembakar roti.

Akhirnya Piala Dunia sampai ke penghujung. Kedai makan Halil semakin meriah dengan kunjungan pelanggan. Jersi dua warna, mewakili dua pasukan beraksi di perlawanan akhir mendominasi suasana di kedai makannya. Ada yang membawa bendera. Mereka datang sama ada dengan keluarga, rakan-rakan malah jemaah dari surau pun turut menyertai kelompok penonton.

Mata masing-masing tertumpu ke arah motosikal yang gagah berdiri di tepi kedai makannya, lengkap dengan riben merah yang besar. Malam ini kata Halil, tiada pertandingan untuk meneka jaringan tetapi ditukar kepada cabutan bertuah. Bermakna hanya yang benar-benar bernasib baik akan membawa pulang motosikal itu. Pak Hamid, antara yang berharap sangat dapat memiliki motosikal itu. Dia mahu menggantikan motosikal buruk yang diusungnya ke sana, ke sini sejak sekian lama.

Dua lelaki berpakaian kemas, berdiri di luar kedai makan tatkala perlawanan baru bermula, memanjangkan leher, mencari tempat duduk yang masih kosong. Penampilan mereka tampak kasual dengan jaket, tidak seperti pengunjung lain yang selesa berkemeja-T.

“Ya, encik. Nak cari tempat kosong ke? Sebentar, saya bantu carikan,” sapa Halil, memaniskan wajahnya tatkala dua lelaki itu turut memerhatikan kemeriahan di kedai makan itu. Halil meninjau jika-jika ada tempat kosong yang boleh menempatkan dua pelanggannya itu.

“Maaf tanya, encik ini Halil bin Ghani ke?” Tanya salah seorang daripada lelaki itu. Halil angguk, mengiyakan.

“Kami polis. Kami ada terima aduan yang kedai encik ini ada buat aktiviti perjudian sempena Piala Dunia. Ikut kami ke balai,” terang salah seorang daripada lelaki sambil menunjukkan kad kuasanya.
“Tapi…” Kata-kata Halil terputus di situ.

Dia memandang kedai makannya. Dia pandang hamper, barangan elektrik dan motosikal yang berada di dalam kedainya. Orang ramai yang sedang makan, menikmati menu-menu bintang Piala

Dunia ada yang memandangnya, namun kembali menumpukan perhatian terhadap perlawanan bola sepak.

“Ikut saja encik. Di balai nanti kita cerita,” kata rakannya lalu memaut tangan Halil. Dia pandang kereta peronda yang diparkir di hujung jalan. Dia pandang isterinya yang sibuk di kaunter.

Perlawanan masih berlangsung dan saat pelanggannya meraikan jaringan gol, dia rasa bagaikan berada di pasukan yang kalah.

Dalam saingan kali ini, dia bukan saja kalah teruk malah terus dibuang padang. Taktikalnya tidak menjadi, ibarat merembat ke gol lawan tetapi terkena palang dan bola melantun menghentam muka sendiri. Sakit.

Namun apa yang Halil tidak tahu, tiga hari sebelum ditahan, salah seorang pengusaha kedai makan yang terletak di kampung yang sama membuat aduan mengenai perkara itu.

Semua itu kerana bapanya, Pak Hamid asyik melepak di kedai Halil dan langsung tidak mahu menolongnya di kedai. Dia bengang kerana idea bukan-bukan Halil menyebabkan ramai pelanggan setianya lari. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN