Mula berlakon usia 30 tahun, tiada istilah terlambat - Nabiha Aimi - Utusan Malaysia

Mula berlakon usia 30 tahun, tiada istilah terlambat – Nabiha Aimi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lupakan kisah klise tentang pelakon remaja yang mengejar populariti kerana cerita kali ini mahu membawa anda menyelami kisah seorang wanita yang memulakan langkah pertamanya pada usia 30 tahun dalam dunia lakonan. Itulah perjalanan seni, Nabiha Aimi.

Bagi Nabiha, dia menyifatkan angka tersebut bukanlah satu tarikh luput untuk menggapai impiannya sebagai pelakon, tetapi satu permulaan yang tetap memberikan dia harapan.

Langkah pertama Nabiha ke dalam industri hiburan tanah air dipikul melalui tanggung jawab besar apabila diberi kepercayaan menyarung pakaian seragam pihak berkuasa menerusi drama kepolisan popular, Gerak Khas 2.0 terbitan Skop Production.

Baginya, peluang yang datang pada usia sekarang dianggap sebagai rahmat besar dan tidak akan dipersiakan.

Meskipun baru bermula pada awal tahun ini, dia yakin perancangan yang diatur oleh Allah SWT adalah yang terbaik. Dia tidak mahu menjadikan faktor umur sebagai alasan untuk tidak memberikan hasil kerja yang bermutu kepada penonton.

“Alhamdulillah, saya diberi peluang dan kepercayaan daripada Datuk Yusof Haslam dan juga pasukan daripada Skop Production untuk memegang watak ini dan untuk sama-sama menjayakan drama bersiri Gerak Khas 2.0 ini. Pertama kali berlakon dan pertama kali ini juga membawa watak polis.

“Banyak juga yang saya lalui dalam set penggambaran sebab pertama kali, kita tidak tahu situasi bekerja itu bagaimana dan cara mahu beraksi depan kamera. Alhamdulillah, saya sangat teruja kerana saya memang minat bidang hiburan ini sudah lama lagi. Memang ada hasrat dari kecil untuk jadi seorang pelakon,” katanya kepada Pancaindera.

Dalam usaha untuk mempertingkatkan lagi mutu lakonannya, Nabiha menjadikan beberapa nama besar dalam industri sebagai rujukan. Dua pelakon senior, Erra Fazira dan Salina Saibi, merupakan idola terbesar yang amat dikagumi olehnya sehingga kini.

Dia sangat kagum melihat kedua-dua pelakon itu menyampaikan dialog dan menghidupkan watak dengan bersahaja. Walaupun watak yang dibawa ada ketikanya diselitkan unsur gurauan, namun ketegasan sebagai seorang polis tetap jelas kelihatan.

“Dalam dunia lakonan ini, sebenarnya idola saya banyak. Sebab saya rasa semua orang ada kelebihan masing-masing. Jadi, setiap cerita yang saya tengok ini, semua orang berbeza-beza.

“Saya boleh katakan idola saya ialah Erra Fazira dan Salina Saibi kerana mereka berlakon sangat natural daripada segi penyampaian lakonan dan lontaran suara. Tetapi, dalam drama Gerak Khas 2.0 ini, kita nampak ketegasan polis itu walaupun dalam gurauan babak-babak yang mereka buat.

“Saya terpegun tentang bagaimana mereka melakukannya. Setiap kali memang saya akan tanya dan akan belajar daripada situ. Mereka berdua sangat menginspirasikan dan saya mahu jadi profesional sama seperti mereka suatu hari nanti,” ujarnya.

Tambah Nabiha, tempoh penggambaran yang memakan masa selama enam bulan telah mematangkan lagi bakat yang ada dalam dirinya. Hubungan yang rapat sesama tenaga kerja juga membuatkan dia sangat selesa sepanjang berada di bawah payung Skop Production.

Dia menyifatkan sesi penggambaran yang dijadualkan berakhir pada bulan ini pastinya akan meninggalkan seribu satu kenangan manis yang sukar dilupakan. Rutin harian yang dipenuhi dengan jadual peng­gam­baran padat akhirnya membina satu ikatan yang sangat akrab.

“Saya sangat gembira dapat bersama keluarga besar Skop Production untuk drama Gerak Khas 2.0 ini. Memandangkan kami sudah enam bulan bersama dan dijadualkan selesai bulan ini, hubungan itu menjadi sangat akrab seumpama keluarga.

“Meskipun tidak dapat menyertai rombongan ke Sarawak sebelum ini, saya tetap teruja mendengar kisah rakan-rakan yang sempat menikmati mi kolok, membeli keropok di lapangan terbang, malah menyaksikan perarakan kebudayaan di sana. Pengalaman mereka kedengaran cukup menyeronokkan dan saya benar-benar tidak sabar untuk menyertai kunjungan seterusnya ke sana,” katanya.

Dalam pada itu, sebagai persediaan untuk terus kekal relevan dalam industri seni di negara ini yang semakin kompetitif, Nabiha sudah mula merangka strategi masa depannya.

Memandangkan drama ini adalah langkah pertamanya, dia mahu memastikan momentum tersebut terus berjalan tanpa henti.

Selain fokus terhadap dunia lakonan, dia juga mempunyai perancangan untuk mengembangkan lagi bakatnya dalam nyanyian.

Minat mendalam terhadap bidang itu yang dipendam sejak kecil juga bakal direalisasikan tidak lama lagi untuk peminat.

“Drama Gerak Khas 2.0 ini drama sulung dalam kerjaya saya. Selain perancangan untuk terus aktif berlakon, saya juga mahu mengembangkan bakat nyanyian dengan mempertaruhkan lagu sendiri atau berkongsi video nyanyian pendek di media sosial nanti. Nantikan di media sosial milik saya, Insya-Allah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN