KETIKA kebanyakan premis makanan berlumba menawarkan konsep moden dan jenama popular, sebuah kafe di Kampung Padang Embun, Pasir Mas, Kelantan memilih pendekatan berbeza dalam menarik pelanggan.
Kafe ini mempertaruhkan aneka nasi berlauk hasil air tangan penduduk kampung sendiri bersama sajian kopi bancuhan premium sebagai identiti utama kafe yang dikenali sebagai Embun.
Gabungan unik antara cita rasa tempatan dan gaya penyediaan moden itu kini menjadi kekuatan utama Embun, sebuah premis makanan yang semakin mendapat perhatian pelanggan terutama bagi segmen sarapan pagi di sekitar Kota Bharu.

Di sebalik pertumbuhan perniagaan itu, Embun sebenarnya membawa sebuah model ekonomi yang lebih besar, bukan sekadar menjual makanan, tetapi membuka ruang kepada komuniti setempat untuk sama-sama menjana pendapatan melalui konsep vendor tempatan.
Pemiliknya, Wan Sharifuddin Wan Salleh, 42, berkata, setakat ini Embun menawarkan kira-kira 18 pilihan nasi bungkus dengan pelbagai aneka lauk setiap hari dengan majoriti menu dihasilkan oleh vendor yang dipilih dalam kalangan penduduk kampung.
Katanya, konsep tersebut sengaja diperkenalkan kerana mahu memastikan perniagaan yang dibangunkan itu mampu memberi manfaat terus kepada masyarakat sekitar.
“Biasanya orang berniaga akan ambil produk yang sudah terkenal atau jenama yang orang ramai sudah kenal.
“Tetapi konsep saya berbeza. Saya mahu dahulukan orang kampung sendiri. Kita buka ruang vendor kepada penduduk di sini dan pilih menu yang benar-benar menepati cita rasa pelanggan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Wan Sharifuddin memberitahu, antara menu yang menjadi pilihan pelanggan ketika ini termasuk ayam cobek, nasi daging belengas, nasi kerabu, nasi Arab, nasi ikan kering dan pelbagai hidangan tradisional lain yang sinonim dengan selera masyarakat Kelantan.
Katanya, lebih menarik, hampir keseluruhan hidangan yang ditawarkan dijual pada harga mesra pengguna sekitar RM5 hingga RM6, manakala nasi Arab dijual pada harga RM15.
“Selain nasi berlauk, Embun turut menawarkan pilihan lain seperti roti bakar, roti jala, roti cicah gulai dan macam-macam lagi yang menepati cita rasa penduduk Kelantan,” ujarnya.
Wan Sharifuddin memberitahu, dia juga memperkenalkan satu lagi produk yang jarang ditemukan di kebanyakan kedai makan sarapan pagi di negeri ini iaitu sajian kopi bancuhan premium sebagai salah satu kelainan.

Katanya, idea itu timbul selepas mendapati masih belum banyak pengusaha makanan tempatan yang menawarkan kopi bancuhan premium khusus untuk pelanggan sesi pagi.
“Saya tengok di Kelantan, belum ramai yang menyediakan kopi bancuhan premium seperti americano, latte, spanish latte, macha latte dan sebagainya pada waktu pagi.
“Jadi, kita cuba bawa sesuatu berbeza. Alhamdulillah, sambutan daripada penggemar kopi sangat baik setakat ini,” katanya.
Bercerita lanjut, Wan Sharifuddin berkata, idea membuka premis makanan itu tercetus daripada rutin hariannya membeli makanan untuk ibu bapanya.
“Saya selalu beli makanan untuk mak ayah. Kemudian saya fikir, kenapa tidak kita hasilkan sendiri makanan untuk keluarga.
“Bila kita sudah hasilkan menu untuk keluarga sendiri, saya rasa tidak salah untuk kita kongsi dengan orang lain juga,” ceritanya. –UTUSAN









