Malaysia sasar 2,000 tenaga mahir diiktiraf China tahun depan

Malaysia sasar 2,000 tenaga mahir diiktiraf China tahun depan

AHMAD Zahid Hamidi sewaktu berucap dalam majlis Forum Kerjasama Pendidikan TVET dan Industri Antarabangsa Malaysia–China Ke-2 serta Pameran Pendidikan Vokasional Malaysia–China Ke-4 yang berlangsung di Institut Teknikal Elektronik dan Maklumat Shanghai, China hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mahu melahirkan 2,000 tenaga mahir tempatan yang diiktiraf dengan pensijilan profesional China menjelang tahun hadapan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran itu boleh dicapai menerusi kerjasama strategik antara Belia Mahir dan China Global Professional and Technical Certification Center (CGPTC) yang kini menjadi rakan pensijilan rasmi di Malaysia.

“CGPTC ialah badan pensijilan antarabangsa berpangkalan di China yang berperanan mengiktiraf kelayakan profesional dan teknikal individu serta institusi latihan di seluruh dunia berdasarkan standard industri China yang diiktiraf secara global.

“Kerjasama ini membolehkan pelaksanaan laluan pensijilan dwi (dual certification) dan akreditasi tenaga pengajar Malaysia dilakukan mengikut standard industri China yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Kerjasama Pendidikan TVET dan Industri Antarabangsa Malaysia–China Ke-2 serta Pameran Pendidikan Vokasional Malaysia–China Ke-4 yang berlangsung di Institut Teknikal Elektronik dan Maklumat Shanghai, China hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, kedua-dua negara turut bersetuju untuk menubuhkan Malaysia–China Satellite Training Program yang melibatkan 10 institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di China dan tiga institusi Malaysia termasuk Kolej TVET Belia Mahir, Kolej Kemahiran Pure Technic dan MCITVET.

“Program berkenaan turut memperkenalkan konsep ‘dual-campus learning’, di mana pelajar mengikuti pembelajaran teori di Malaysia dan menjalani latihan praktikal di China dalam bidang berteknologi tinggi seperti Kenderaan Elektrik (EV), Mekatronik, Kecerdasan Buatan (AI) dan E-Dagang,” katanya.

Ahmad Zahid turut menyambut baik hasrat TANG International Education Group, bersama industri dan institusi TVET China untuk menganjurkan Pameran TVET China sempena sambutan Hari TVET Negara 2026 di Malaysia.

“Penganjuran pameran itu akan menjadi platform penting bagi pertukaran pengetahuan, teknologi dan inovasi antara Malaysia dan China sekali gus memperkukuh kerjasama pendidikan teknikal kedua-dua negara,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN