PETALING JAYA: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) diminta bekerjasama dengan Jabatan Pelajaran Negeri bagi memastikan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas akibat banjir dapat hadir ke pusat peperiksaan.
Ketua Pengarah Nadma, Meor Ismail Meor Akim berkata, perkara itu diminta oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar ketika meninjau pengendalian operasi Monsun Timur Laut (MTL) di Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), hari ini.
“Ketua Setiausaha Negara meminta Nadma untuk menyelaraskan dengan Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi menyediakan pengangkutan untuk membawa calon ke pusat peperiksaan masing-masing atau memindahkan mereka ke asrama bagi membolehkan mereka menduduki peperiksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Shamsul Azri turut meminta Nadma mempergiat koordinasi dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) bagi negeri-negeri yang sedang dilanda banjir.
Katanya, ia mengenai keperluan di lapangan supaya tindakan segera dapat diambil.
“Nadma juga diminta memastikan pengurusan bencana diselaras dengan baik bersama agensi-agensi berkaitan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah supaya tidak mengganggu proses pilihan raya.
“Semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri dan Daerah diaktifkan supaya penyelarasan pengurusan bencana banjir dapat diuruskan dengan teratur dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata, Nadma akan menggerakkan pasukan peninjau daripada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas (SMART) seramai 10 anggota dengan membawa aset iaitu dua lori, dua kenderaan pacuan empat roda dan dua bot bagi membantu operasi menyelamat.
“Pasukan SMART ini digerakkan sebagai pasukan sokongan personel dan aset menyelamat khas kepada agensi responder sedia ada di negeri-negeri yang sedang menjalankan operasi mengikut keperluan,” katanya.
Meor Ismail berkata, ketika ini semua agensi tindak balas termasuk APM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta jawatankuasa bencana negeri berada pada tahan kesiapsiagaan yang tinggi.
“NDCC juga beroperasi 24 jam untuk memantau dan menyelaras maklumat serta memastikan amaran awal disampaikan tepat pada masanya.
“Kerajaan sentiasa komited memastikan setiap langkah kesiapsiagaan dan tindak balas dilaksanakan secara teratur dan menyeluruh bagi melindungi keselamatan rakyat sepanjang tempoh amaran hujan berterusan yang dikeluarkan oleh MET Malaysia,” katanya. – UTUSAN










