PETALING JAYA: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menggesa semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mempergiat langkah menangani jerebu.
NADMA berkata, JPBN perlu melakukan mesyuarat penyelarasan berkala, pemantauan kualiti udara berterusan serta tindakan pantas agensi berkaitan demi melindungi kesihatan rakyat, khususnya murid sekolah.
Menurut agensi itu, gesaan tersebut merupakan susulan kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pengurusan Bencana Negara yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 16 September lalu.
Ia turut diperkukuh melalui perbincangan antara agensi pada 13 Oktober lalu yang melibatkan NADMA, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Penyelarasan tersebut memberi penekanan kepada tanggungjawab setiap agensi untuk mengambil tindakan mengikut bidang kuasa masing-masing, di samping memastikan keselamatan dan kesihatan murid sentiasa diutamakan tanpa menjejaskan kelangsungan pendidikan secara berpanjangan.
“Walaupun bagaimanapun, pelaksanaan keputusan berkaitan pengoperasian sekolah adalah tertakluk kepada garis panduan KPM serta penilaian keadaan semasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
NADMA berkata, pihaknya akan terus memperkukuh penyelarasan dan perkongsian maklumat antara agensi, khususnya data kualiti udara, perkembangan cuaca dan nasihat kesihatan bagi menyokong keputusan pihak berkuasa yang berkaitan serta memastikan tindakan di lapangan dilaksanakan secara teratur.
Tegas agensi itu, tindakan menangani jerebu hendaklah berpandukan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dengan mengambil kira bacaan IPU, keadaan cuaca, risiko pembakaran terbuka dan risiko terhadap kesihatan awam.
“Sehubungan itu, JPBN perlu memantau keadaan secara berterusan, menyelaraskan tindakan agensi serta memastikan anggota, peralatan dan sumber yang mencukupi tersedia di kawasan terjejas.
“Sekiranya keadaan bertambah serius, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) hendaklah diaktifkan mengikut keperluan operasi dan tatacara berkuat kuasa bagi mempercepat penyelarasan tindakan serta bantuan kepada penduduk yang terjejas,” katanya.
Agensi itu turut menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar apabila kualiti udara merosot, khususnya kanak-kanak, warga emas, wanita hamil dan individu yang mempunyai masalah pernafasan.
“Ibu bapa juga diminta mengikuti pengumuman rasmi KPM dan pihak sekolah berhubung sebarang perubahan pengoperasian sekolah,” katanya. –UTUSAN










