PETALING JAYA: Berbaki seminggu Hari Penamaan Calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, hujung minggu Sabah khususnya Kota Kinabalu sibuk dengan kehadiran para pemimpin politik termasuk dari Pusat yang tiba untuk memuktamadkan nama bertanding.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dijangka tiba ke Kota Kinabalu lewat petang ini dan beliau dijadual mengadakan perbincangan bersama kepimpinan PKR esok.
Beliau juga esok akan mengumumkan calon-calon PKR PRN Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) akan mengadakan mesyuarat bersama kepimpinan parti.
Semalam, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya bakal memuktamadkan jumlah kerusi yang bakal ditandingi serta senarai calonnya hari ini.
Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, BN akan mengumuman senarai calon seminggu sebelum Hari Penamaan Calon PRN Sabah pada 15 November ini dengan kemungkinan besar, beliau akan berbuat demikian di Bangunan UMNO Sabah esok.
DAP Sabah salah satu parti komponen PH dan sekutu BN dalam kerajaan Perpaduan akan mengumumkan calon-calonnya hari ini pada pukul 11.30 pagi di sebuah hotel tempatan.
Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) yang juga berentap di pentas PRN juga melancarkan jentera PRN Sabah di Sandakan dengan kehadiran Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pula akan mengumumkan senarai penuh calon parti itu pada 12 November ini, manakala PN pula pada 11 November.
Setakat ini, hanya Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) mendahului parti lain dalam menanamkan beberapa calonnya untuk menjadi pertaruhan menghadapi PRN.
Selain PH, BN dan GRS serta PN, PRN juga menyaksikan persaingan sengit antara Parti Warisan yang mahu bertanding solo dalam pilihan raya kali ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 November sebagai hari penamaan calon, manakala hari pengundian akan diadakan pada 29 November. Seramai kira-kira 1.7 juta rakyat Sabah layak untuk menunaikan tanggungjawab mengundi.-UTUSAN










