KitaMATCH atasi isu pertindihan bantuan semasa bencana

KitaMATCH atasi isu pertindihan bantuan semasa bencana

PUTERI Intan Safinaz (dua, kiri) bersama Siti Kamariah Ahmad Subki (kiri), Sia Wen Di (tiga, kiri), Danial Iskandar (dua, kanan) dan Syed Zainal Abidin Jamallulail pada majlis pelancaran Projek “Accelerating Disaster Preparedness in Malaysia’s Third Sector” di Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/SOLEHAH AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia Humanitarian Coordination and Action Hub (Yayasan MATCH) menubuhkan platform `KitaMATCH’ bagi menyelaras oeprasi bantuan kecemasan semasa musim tengkujuh.

Pengerusi Yayasan MATCH, Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah bertitah, platform KitaMATCH ditubuhkan ketika pandemik Covid-19, bertujuan menangani masalah bantuan bertindih dan kekangan penyelarasan maklumat antara penderma, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penerima bantuan.

Baginda bertitah, KitaMATCH ditubuhkan bagi menyatukan maklumat, keperluan dan data lapangan supaya semua pihak dapat bertindak dengan pantas dan tepat.

“Kadang-kadang penyaluran bantuan itu bertindih, merugikan masa dan kos dan ada keperluan yang tidak sampai kepada pengetahuan pihak kerajaan mahupun penderma,” titah baginda pada majlis pelancaran Projek “Accelerating Disaster Preparedness in Malaysia’s Third Sector” di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Datuk Danial Iskandar Abdul Rahman; Pengasas Pertubuhan Jiwa Amal Malaysia (JIWA), Syed Zainal Abidin Jamallulail Syed Abdul Azizi dan Pengarah Projek Gerimis, Sia Wen Di.

Projek “Accelerating Disaster Preparedness in Malaysia’s Third Sector” inisiatif untuk memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana dalam kalangan pihak swasta dan organisasi masyarakat sivil (CSO).

Melalui kerjasama antara Malaysia Humanitarian Coordination and Action Hub (Yayasan MATCH) dan Yayasan Hasanah, projek itu turut memberi tumpuan kepada platform KitaMATCH yang dibangunkan oleh Yayasan MATCH.

Sementara itu, Ketua Operasi Yayasan MATCH, Carrot Ho Chung Shin berkata, sehingga kini platform KitaMATCH merekodkan 366 projek bantuan dengan 120 penilaian lapangan, 60 NGO berdaftar sebagai pengguna tetap serta 130 pengguna individu aktif menggunakan platform tersebut.

“Aplikasi ini membolehkan NGO mengetahui keperluan sebenar di lokasi bencana tanpa perlu membuat panggilan atau menyemak maklumat secara berasingan.

“Jika satu kampung perlukan barangan tertentu, NGO lain boleh lihat apa yang sudah dihantar dan apa yang masih diperlukan. Ini mengelakkan pembaziran dan mempercepat maklumbalas,” katanya.

Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki pula berkata, pihaknya akan menambah baik dan memperluas aspek baharu dalam inisiatif berkenaan, selain berusaha melibatkan orang awam untuk memberi maklum balas terhadap usaha tersebut.

“Seiring dengan konteks tindak balas bencana syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC), serta pertubuhan masyarakat sivil dan syarikat yang ingin menyalurkan bantuan ketika banjir, platform KitaMATCH membolehkan mereka melihat sendiri keperluan di lapangan, termasuk Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang memerlukan bantuan.

“Kami turut mengadakan laporan situasi harian pada waktu tetap dikongsikan kepada seluruh ekosistem agar semua pihak menerima maklumat yang sama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN