Kerajaan perkukuh pembangunan sekolah termasuk vernakular

Kerajaan perkukuh pembangunan sekolah termasuk vernakular

FADHLINA Sidek merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan SJK(T) Ladang Labu Bahagian 4, Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan akan terus memperkukuh pembangunan semua jenis sekolah dalam sistem pendidikan negara, termasuk Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) di samping mempertahankan kedudukan sekolah vernakular.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, komitmen itu penting bagi memastikan tiada murid tercicir atau dinafikan hak mendapat pendidikan berkualiti tanpa mengira jenis sekolah dan latar belakang.

Menurutnya, kerajaan terus memberi perhatian kepada sekolah kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) kerana pendidikan merupakan titik persamaan yang perlu diutamakan.

“Kami mempertahankan sekolah vernakular di Parlimen kerana bagi Kerajaan Madani, sekolah vernakular akan terus dipertahankan berdasarkan Akta Pendidikan.

“Kita mahu memastikan semua sekolah sama ada sekolah kebangsaan, SJKC mahupun SJKT terus diberikan perhatian kerana asas yang menyatukan kita ialah pendidikan.

“Tidak boleh ada anak kita yang tertinggal, dinafikan atau dipinggirkan dalam konteks pendidikan. Sebab itu pendidikan mesti menjadi keutamaan untuk semua,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan SJK(T) Ladang Labu Bahagian 4, di tapak MVV City, Labu di sini, hari ini.

Selain itu, Fadhlina berkata, usaha memperluas akses pendidikan tidak boleh bergantung kepada dasar semata-mata, sebaliknya perlu disokong melalui pelaburan berterusan terhadap pembangunan sekolah dan kebajikan murid.

Katanya, melalui kerjasama Yayasan Didik Negara (YDN) dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), kerajaan memperuntukkan RM25.8 juta bagi melaksanakan Inisiatif Perabot Madani di 362 buah SJKT, menyediakan papan pintar (Smartboard) di 388 buah SJKT serta melaksanakan Program Kalvi Madani untuk membantu murid daripada keluarga B40.

“Pada masa sama, kerajaan turut memperuntukkan RM30 juta bagi pembinaan blok tambahan di SJKT yang memerlukan, selain RM20 juta untuk kerja penyelenggaraan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) mengikut keperluan.

“Pendekatan ini memastikan setiap sekolah terus diperkasa agar murid dapat belajar dalam persekitaran yang lebih selamat, kondusif dan berkualiti,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pembangunan sekolah merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang negara di bawah Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 yang memberi penekanan kepada akses pendidikan berkualiti kepada semua murid tanpa mengira lokasi atau latar belakang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN