PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Penyerahan Watikah Pelantikan enam ketua perwakilan asing ke negara ini di Istana Negara, hari ini.
Ketua perwakilan asing berkenaan ialah Pesuruhjaya Tinggi Mauritius, Rabin Gungoo; Duta Besar Republik Türkiye, Nevzat Uyanik dan Pesuruhjaya Tinggi negara Brunei, Datuk Paduka Abdur Rahmani Datuk Paduka Haji Basir.
Selain itu, Pesuruhjaya Tinggi Republik Persekutuan Nigeria, Ahmed Olatunji Sulu Gambari; Duta Besar Republik Congo, Raymond Serge Bale dan Duta Besar Republik Albania, Ermal Muca.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada Duta Besar Malaysia ke Republik Indonesia, Datuk Muzafar Shah Mustafa dan Duta Besar Malaysia ke Vietnam, Jamal Sharifuddin Johan.
Selain itu, Duta Besar Malaysia ke Mexico, Muhammad Radzi Jamaluddin, Duta Besar Malaysia ke Itali, Datuk Shahabudeen Adam Shah dan Duta Besar Malaysia ke Maghribi, Edi Irwan Mahmud.
Hadir sama dalam istiadat itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Amran Mohamed Zin. – UTUSAN










