Kerajaan diterajui PH banyak bantu Sabah

Kerajaan diterajui PH banyak bantu Sabah

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANDAKAN: Kerajaan Perpaduan diterajui Pakatan Harapan (PH) adalah antara kerajaan paling banyak menyalurkan bantuan kepada Sabah dan rakyat negeri ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH berkata, sepanjang pemerintahan Kerajaan Madani, Sabah juga antara negeri yang menerima peruntukan terbesar bagi pembinaan pelbagai kemudahan termasuk sekolah.

“Jadi ibu-ibu yang ada anak, tolong ingat perkara ini. Banyak sekolah dibina (di Sabah) sejak kita memerintah.

“Nak marah sikit tidak mengapa, nak tegur pun tidak mengapa, saya tidak marah kerana saya faham kadang-kadang (ada) orang (masih) susah.

“Tetapi, jangan kata kita tidak tolong. Ini kerajaan Pakatan Harapan, paling banyak tolong orang Sabah. Sebab itu, saya minta sokongan terhadap kedua-dua calon PH di DUN (Dewan Undangan Negeri) Elopura, Vivian Wong Shir Yee dan calon kerusi DUN Tanjong Papat, Tang Szu Ching,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra bersama belia Sandakan di gelanggang futsal Kampung Sim Sim, di sini hari ini.

Justeru itu, Anwar yang juga Presiden PKR berkata rakyat Sabah perlu memberi sokongan kepada PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah agar parti itu mempunyai suara lebih kuat untuk terus menjaga kebajikan rakyat negeri itu.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan Sabah memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dengan dibantu Kerajaan Persekutuan yang stabil dan bertanggungjawab.

Oleh demikian, kata Anwar perlu ada kerjasama antara kedua-dua kerajaan demi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Menyentuh mengenai tuntutan 40 peratus hasil Sabah, Anwar memberi jaminan isu berkenaan akan diselesaikan dan kerajaan komited menunaikan janji berkenaan.

“Kita sudah janji, kita akan laksanakan. Ini bukan sekadar cakap-cakap seperti kerajaan sebelum ini, kita akan buat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN