Kerajaan bawa pulang 4,000 rakyat Malaysia terjejas banjir di Thailand - Utusan Malaysia

Kerajaan bawa pulang 4,000 rakyat Malaysia terjejas banjir di Thailand

AHMAD Zahid Hamidi menyampaikan geran MyChampion kepada penerima pada Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat di Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Kerajaan sedang menggerakkan usaha untuk membawa pulang kira-kira 4,000 rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir di Hatyai serta beberapa daerah lain di wilayah Songkhla, Thailand.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, maklumat terkini sedang diperoleh dari Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla bagi mengenal pasti rakyat negara ini yang masih terperangkap, termasuk guru dan 40 pelajar.

Katanya, koordinasi akan dijalankan bersama Kementerian Luar dan kerajaan Thailand untuk memastikan bantuan segera disalurkan sekali gus membolehkan semua yang terlibat pulang ke tanah air secepat mungkin.

“Banjir dijangka surut tengah hari ini dan kita berharap para pengunjung dapat memberikan kerjasama kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla untuk urusan membawa mereka pulang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Jelajah Wow Zoomers Agenda Nasional Malaysia Sihat bersama MyChampion Bagan Datuk di Dewan Dato’ Lope Hashim di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, pihaknya juga sedang menilai keperluan menyediakan kenderaan berat bagi membawa pulang rakyat sekiranya keadaan banjir di wilayah itu semakin memburuk

“Konsul Jeneral akan mengemaskini maklumat mengenai keadaan di sana dan (jika keadaan buruk) mungkin kita sediakan kenderaan berat supaya mereka dapat pulang ke kawasan masing-masing,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan, beliau menasihatkan penduduk yang tinggal di lokasi berisiko banjir untuk mematuhi amaran dan berpindah tiga hari lebih awal daripada jangkaan berlaku luruan hujan luar biasa.

“Koordinasi telah dijalankan bersama Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan agensi penguatkuasaan lain agar amaran berpindah itu diberikan tiga hari lebih awal daripada jangkaan berlakunya hujan lebat dan paras air meningkat.

“Kita berharap amaran awal ini dapat dipatuhi sepenuhnya. Kita tidak mahu nyawa, harta benda atau dokumen penting tertinggal di kawasan berisiko dilanda banjir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN