“Terkejut, bingung dengan apa yang berlaku”.- waris

“Terkejut, bingung dengan apa yang berlaku”.- waris

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KAJANG: Keluarga kepada seorang kanak-kanak yang maut manakala dua adiknya kritikal dipercayai diberi minum metadon terkejut dengan kejadian yang berlaku sehingga membawa penahahan ibu bapa mangsa di Sungai Ramal Baru, di sini, hari ini.

Salah seorang waris yang enggan dikenali berkata, dia berasa terkejut dan sedih dengan tragedi yang berlaku terhadap keluarga terbabit.

Malah, dia sekeluarga turut bingung dan tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku sehingga mengakibatkan kematian seorang kanak-kanak berusia 11 tahun.

“Minta maaf kami pun tidak tahu apa sebenarnya terjadi pagi tadi, kami dari Melaka terus bergegas ke sini selepas mendapat berita.

“Saya tidak mahu berikan apa-apa komen sebab kami pun tidak tahu apa maklumat sebenar takut tersalah cakap,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Wartawan cuba menemu bual adik kepada ibu mangsa yang dikatakan tinggal bersama mereka namun lelaki itu tidak bersedia untuk memberi sebarang komen dan enggan berkata apa-apa.

Tinjauan di lokasi mendapati beberapa ahli keluarga dan sanak saudara mangsa sedang berkumpul di rumah terbabit bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian itu.

Sementara itu jiran yang hanya ingin dikenali sebagai Saraswathi,53, berkata, dia terkejut apabila mendapat berita berhubung kejadian itu kerana sering melihat kanak-kanak terbabit bermain di kawasan perumahan mereka.

Katanya, keluarga itu sudah lama menetap di pangsapuri itu dan mereka tiada sebarang masalah besar dengan jiran-jiran.

Terdahulu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki maut, manakala dua adiknya kritikal selepas dipercayai diberi minum Metadon oleh ibu kandung mereka sendiri, pagi tadi.

Metadon adalah sejenis ubat sintetik opiod yang digunakan dalam rawatan terapi gantian untuk merawat ketagihan dadah opiat, terutamanya heroin dan morfin.

Difahamkan, kejadian berlaku di sebuah kediaman di Sungai Ramal Baru, di sini, dengan tiga beradik itu dikejarkan ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Mangsa yang meninggal dunia berusia 11 tahun, manakala dua adiknya masing-masing berusia sembilan dan lima 5 tahun dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli dilaporkan berkata, pihaknya menahan kedua ibu bapa kepada tiga kanak-kanak terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN