SEREMBAN: Seorang pemandu e-hailing dan penumpangnya cedera parah selepas kenderaan dinaiki mereka dihempap sebatang pokok tumbang akibat hujan lebat di jalan menghala ke Kolej INTI, Nilai, di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.59 petang itu telah menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit di dalam kenderaan terbabit.
“Pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian melalui sistem MERS NG999 sebelum sepasukan anggota dari Balai Polis Nilai bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dikejarkan ke lokasi.
“Dua mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira 20 minit selepas operasi dijalankan sebelum dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Johari berkata, pemandu e-hailing berusia 39 tahun itu dipercayai mengalami trauma dan dilaporkan tidak dapat mengingati kejadian.
“Dia juga tidak dapat menggerakkan kedua-dua kaki kerana disyaki mengalami kecederaan atau patah dan kini menjalani pemeriksaan lanjut termasuk imbasan sinar-X.
“Penumpang berusia 41 tahun yang bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat penerbangan pula mengalami pendarahan dalaman di bahagian kepala, kecederaan dalaman pada abdomen serta disyaki patah pada kedua-dua belah tangan. Punca kejadian dipercayai akibat hujan lebat yang melanda kawasan tersebut ketika kejadian,” katanya.-UTUSAN.










