PETALING JAYA: Polis menjalankan siasatan kes seorang kanak-kanak maut manakala dua adiknya kritikal di bawah Seksyen 31(1)(a)Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian.
Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada pegawai perubatan Hospital Tengku Permaisuri Norashikin (HTPN) pada pukul 9.01 pagi tadi.
Katanya, siasatan awal mendapati tiga kanak-kanak lelaki warga tempatan telah dibawa ke Jabatan Kecemasan hospital tersebut.
“Seorang daripadanya disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan, manakala dua lagi masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Susulan itu, dua individu dipercayai ibu bapa kepada mangsa berusia 35 dan 44 tahun ditahan pada hari sama bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Mohamad Razlan Arif di talian 016-4730452 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di talian 03-8925 8222,” katanya.- UTUSAN










