Kenyataan AGC menjelaskan sebab saya meletak jawatan - Ewon Benedick

Kenyataan AGC menjelaskan sebab saya meletak jawatan – Ewon Benedick

pmks
EWON BENEDICK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat Sabah memerlukan pembayaran semula hak 40 peratus yang boleh digunakan oleh Kerajaan Negeri Sabah bagi tujuan pembangunan infrastruktur, kemudahan awam, pembasmian kemiskinan, program ekonomi, keusahawanan dan pelbagai inisiatif pembangunan lain.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Ewon Benedick berkata, sepanjang hampir tiga tahun berkhidmat dalam Kabinet Persekutuan, isu itu telah dibangkitkan walaupun tidak mendapat jawapan yang tepat daripada pihak kerajaan.

“Saya tetap konsisten menyatakan pandangan. Pelaksanaan hak 40 peratus itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pembangunan fizikal, tetapi juga meningkatkan peluang ekonomi rakyat melalui program keusahawanan dan pelbagai inisiatif lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, isu hak 40 peratus merupakan sebahagian daripada tanggungjawab Kerajaan Persekutuan di bawah Senarai Persekutuan mengikut Perlembagaan Malaysia, dan pematuhan terhadapnya akan memperkukuh keadilan serta pembangunan negeri.

“Saya meminta Kerajaan Persekutuan agar memberi perhatian serius terhadap tuntutan itu bagi memastikan Sabah terus berkembang dan rakyatnya menikmati manfaat pembangunan yang saksama,” katanya.

Semalam, media melaporkan Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil yang diperoleh dari Sabah. Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata, keputusan itu susulan tindakan Kerajaan Persekutuan yang segera memulakan proses rundingan bersama Kerajaan Sabah.

“Jabatan Peguam Negara memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan menghormati prinsip Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak akan membuat rayuan terhadap Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil,” katanya.

Mengulas situasi itu, Ewon menegaskan, tindakan kerajaan Persekutuan untuk tidak membuat rayuan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai hak 40 peratus Sabah, tetapi merayu alasan penghakiman, tetap dianggap satu rayuan.

Ewon turut menyatakan rasa janggal untuk terus berada dalam Kabinet Persekutuan, lebih-lebih lagi selepas penghakiman bertulis dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Celestina Stuel Galid, yang merekodkan pendirian dan pandangan AGC ke atas semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS).

Ewon berkata, selepas Mesyuarat Khas Kabinet Persekutuan pada Selasa lalu, AGC mengeluarkan kenyataan bertajuk “Isu 40 Peratus Hasil: Tiada Rayuan, Rundingan Dimulakan Segera”, tetapi kenyataan sama turut menyimpulkan “akan merayu kecacatan dalam alasan penghakiman”.

“Pendirian dan pandangan AGC dalam prosiding semakan kehakiman itu menyegerakan perletakan jawatan saya.

“Hari ini, kenyataan AGC menjelaskan sebab saya meletak jawatan seperti yang saya nyatakan di Konvensyen UPKO Penampang. Saya meletak jawatan atas prinsip, kerana menjangkakan notis rayuan akan difailkan di Mahkamah Rayuan berdasarkan alasan AGC.

“Asas alasan dan dapatan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu saling berkait rapat dan tidak boleh dipisahkan,” jelasnya.

Menurut Ewon, jika Mahkamah Rayuan memutuskan sebahagian dapatan Mahkamah Tinggi adalah salah, keputusan keseluruhan mengenai hak 40 peratus Sabah boleh terjejas.

Katanya, walaupun AGC menyatakan menghormati prinsip pemberian khas berdasarkan hak 40 peratus, sekiranya Mahkamah Rayuan membatalkan keseluruhan penghakiman Mahkamah Tinggi, pengiktirafan terhadap hak 40 peratus itu juga akan terbatal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN