Kehilangan integriti, keutuhan negara terancam - Sultan Nazrin - Utusan Malaysia

Kehilangan integriti, keutuhan negara terancam – Sultan Nazrin

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah melancarkan Sambutan Bulan Integriti Nasional 2025 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa kehilangan integriti, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengkhianatan dari dalam merupakan ancaman yang lebih besar terhadap keutuhan negara berbanding musuh dari luar.

Menyingkap sejarah, baginda bertitah, kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511 bukan sekadar berpunca daripada serangan musuh dari luar tetapi akibat pengkhianatan dari dalam.

Malah titah  baginda, kisah yang berlaku di Tembok Besar China juga wajar dijadikan peringatan bahawa musuh tidak perlu meroboh atau memanjat tembok berkenaan sebaliknya masuk dengan mudah melalui pintu dan laluan yang dibuka dengan merasuah pegawai.

“Sejarah wajar menjadi cermin kepada generasi kini bahawa tanpa integriti, kekuasaan menjadi rapuh, tanpa kejujuran, kemerdekaan boleh terancam.

“Maka, setiap insan yang memegang amanah, sama ada di sektor awam, swasta, politik, institusi agama, badan-badan sukarela, kebajikan dan sukan, hendaklah menjadikan sejarah sebagai guru.

“Filsuf George Santayana menyatakan, ‘mereka yang tidak belajar dari sejarah akan dikutuk kerana mengulanginya’. Dibimbangi sikap tidak belajar dari sejarah sedang berlaku di hadapan mata kita,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian menyempurnakan Majlis Sambutan Bulan Integriti Nasional 2025 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Institut Integriti Malaysia (IIM), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Sultan Nazrin bertitah, usaha membina masyarakat berintegriti perlu bermula dari rumah kerana institusi keluarga merupakan madrasah pertama dalam pembentukan sahsiah anak-anak.

Baginda bertitah, nilai kejujuran, tanggungjawab dan empati tidak akan dapat disemai hanya melalui dasar atau slogan kerajaan semata-mata.

“Integriti tidak lahir secara spontan. Integriti tidak terbentuk melalui pelan yang cantik tertulis di atas kertas. Integriti tidak tercapai melalui penubuhan sebuah institusi.

“Integriti dibentuk melalui pendidikan yang berterusan, disemai di rumah, disuburkan di sekolah, diperkukuh oleh masyarakat dan diinspirasikan oleh kepimpinan yang boleh teladani.

“Ibu bapa berperanan paling utama menyemai benih integriti dalam jiwa anak-anak kerana rumah ialah madrasah pertama seorang insan,” titah baginda.

Dalam usaha melahirkan generasi berintegriti, baginda bertitah, terdapat dua perkara yang perlu diberikan keutamaan iaitu mengembalikan makna suci pendidikan dan kedua menghayati prinsip pertama Rukun Negara iaitu kepercayaan kepada Tuhan.

Titah baginda, kisah yang berlaku di tembok besar China dan kisah kejatuhan Melaka sewajibnya menjadi peringatan bahawa membina jati diri manusia lebih utama daripada segala binaan lain.

“Apabila amanah dikhianati dan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan negara, maka hilanglah benteng.

“Justeru itu, membina jati diri dalam kalangan anak-anak di sekolah dan pelajar-pelajar di pusat-pusat pengajian wajib diutamakan,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN