Kehamilan tidak halang Nurshafikah raih dua anugerah Unisza

Kehamilan tidak halang Nurshafikah raih dua anugerah Unisza

NURSHAFIKAH Abd. Manaf (kanan) bersama Hanis Mohd. Naim (kiri) serta anak mereka bergambar bersama selepas menerima sijil pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kali ke-17, Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kecekalan menempuh cabaran kehamilan pada hujung pengajian berbalas buat Nurshafikah Abd. Manaf, 26, apabila keazaman tinggi ditunjukkan membolehkannya meraih dua anugerah tertinggi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada majlis konvokesyen, semalam.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Risiko dan Takaful) itu diraikan dengan Anugerah Terbaik Fakulti Perniagaan dan Pengurusan (Pingat Al-Khawarizmi) serta Anugerah Khas Kecemerlangan Industri pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA ke-17.

Katanya, pada Januari lalu ketika di semester akhir, dia disahkan hamil dan pada masa sama sedang menduduki peperiksaan akhir.

“Ketika itu kesihatan saya tidak mengizinkan. Saya jawab soalan peperiksaan sekadar termampu tetapi tak sangka mampu merangkul dua anugerah khas,” katanya yang ditemui selepas majlis konvokesyen.

Dengan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.70 dan rekod tujuh semester berturut-turut sebagai pelajar dekan, Nurshafikah mengakui tidak mudah mengekalkan prestasi akademik terutama ketika berdepan alahan dan keletihan di awal kehamilan.

“Saya tidak sangka mampu kekalkan keputusan cemerlang hingga ke semester terakhir. Semua ni saya anggap rezeki anak, hadiah daripada Allah SWT selepas usaha yang sungguh-sungguh,” ujarnya.

Katanya, semester terakhir menjadi tempoh paling mencabar dalam hidupnya apabila terpaksa mengimbangi tanggungjawab sebagai pelajar, isteri dan bakal ibu.

Pasangan itu berkahwin pada Mac tahun lalu dan suaminya, Hanis Mohd. Naim, 26, kini bekerja sebagai jurutera sambil melanjutkan pengajian peringkat ijazah secara separuh masa di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Menurut Nurshafikah, selain bekerja tetap, suaminya turut melakukan kerja sambilan sebagai pemandu e-hailing bagi menampung perbelanjaan ketika dirinya menuntut di universiti.

“Suami memang banyak bantu dari segi kewangan dan semangat. Dia selalu pesan jangan berhenti separuh jalan,” katanya. 

Nurshafikah berkata, majlis konvokesyen itu menjadi detik bermakna dalam hidupnya apabila dapat membawa anak sulungnya yang baru berusia 30 hari meraikannya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN