KOTA KINABALU: Sebuah kartel terbesar didakwa beroperasi secara bebas tanpa diambil sebarang tindakan sejak 20 tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah menunggu hampir setahun selepas menjadi Perdana Menteri dan tiada sebarang laporan diterima mengenai kartel besar tersebut yang membawa dadah menerusi kontena.
Beliau pernah membangkitkan persoalan berkenaan kepada agensi yang bertanggungjawab ekoran keluhan ramai orang mengenai perkara itu.
“Saya kata macam mana? Orang ramai sudah bercakap mengenainya. Kemudian kontena itu masuk. Kontena dadah keluar daripada Pelabuhan Klang, ditangkap di Australia.
“Itu saya mengamuk. Saya kata jangan cakap kepada saya, anda tak ada apa-apa tindakan,” katanya pada sesi Sarapan dan Sembang Santai Bersama Media Sabah di sini, hari ini.
Anwar berkata, beliau tidak boleh bertolak ansur mengenai perkara itu dan kemudian mengambil beberapa langkah susulan.
Beliau turut menemui ketua-ketua agensi setiap minggu dan bertemu dengan mereka selama satu jam.
“Apa jadi itu? Satu contoh ialah Pelabuhan Klang. Rupanya ratusan kontena yang masuk seperti sisa e-waste. Jadi kita kata, serbu. Bagaimana, bila dan siapa? Itu kerja dia. Saya tak tahu,” katanya.
Anwar berkata daripada perkara itu juga, wujudnya sindiket dan ahli politik yang terbabit dalam kegiatan berkenaan.
“Ada juga kelakuan dan tindakan jenayah. Ada orang mati dibunuh oleh mereka.
“Sekarang, kita sudah ambil tindakan. Kita sudah rampas dan dakwa beberapa orang di mahkamah,” katanya.-UTUSAN










