PUTRAJAYA: Pentadbir sekolah terutama pengetua dan guru besar diingatkan supaya tidak menyembunyikan sebarang kes salah laku murid semata-mata mahu menjaga imej baik sekolah masing-masing atau tidak mahu terganggu kerana sudah hampir bersara.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, sebaliknya setiap isu disiplin yang timbul perlu ditangani secara berani, terbuka dan berhemah agar dapat dicari jalan penyelesaian bersama-sama, segera dan betul demi melahirkan generasi murid berkualiti.
Beliau memberi jaminan bahawa tiada sebarang tindakan akan diambil terhadap mana-mana sekolah hanya kerana mempunyai banyak kes salah laku jenayah dalam kalangan murid, sebaliknya pihaknya akan membantu mencari penyelesaian terbaik.
Dalam hal ini, beliau menegaskan bahawa arahan telah dikeluarkan bagi membezakan antara salah laku disiplin dengan salah laku jenayah.
Katanya, kes tidak menyiapkan kerja rumah yang diberikan guru atau lambat masuk kelas, adalah salah laku disiplin dan ditangani secara tindakan sekolah seperti kaunseling atau amaran.
Manakala kes menyebarkan gambar lucah atau membuli adalah salah laku jenayah dan mesti dilaporkan kepada pihak polis.
“Pengetua dan guru besar mesti dapat gunakan kebijaksanaan profesional bagi menguruskan salah laku dalam kalangan murid.
“Saya pernah cakap yang pengetua dan guru besar ‘jangan sorok bawah karpet’ itu dalam konteks pengurusan salah laku murid oleh sekolah. Contohnya kes buli. Tidak mungkin tidak ada sedikitpun aduan awal dibuat? Tidak mungkin baru berlaku satu kali, terus jadi teruk?
“Mesti ada rentetannya, sebelum berlakunya menjadi kes besar. Jika memerlukan kes itu dilapor kepada polis, maka laporkanlah.
“Itu sebabnya saya beritahu ‘jangan simpan bawah karpet. Saya akan ambil tanggungjawab. Keluarkanlah semua kes salah laku jenayah yang berlaku dan kita bersihkan sama-sama dan selepas itu kita bina generasi yang berkualiti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Katanya, budaya ‘menyembunyikan kes’ berlaku apabila pihak sekolah terlalu berhati-hati menjaga reputasi institusi masing-masing hingga mengabaikan tindakan pencegahan awal terhadap salah laku murid.
Mohd. Azam berkata, pengetua dan guru besar perlu lebih cakna dengan keadaan murid di bawah jagaan mereka dan bersama-sama dengan ibu bapa dalam urusan tersebut.
Ini kerana katanya, tempoh masa guru dan murid lebih kurang enam jam, sudah tentu pihak sekolah dapat mengesyaki murid tertentu jika ada salah laku dibuat.
“Jadi kenapa tak lapor? Tapi kadang-kadang apabila ditanya, katanya sudah ada maklumat, tapi anggap itu urusan mak ayah dia. Mungkin tak nak terbeban, dimarahi mak ayah dan sebagainya, sedangkan kita tak rela perkara itu berlaku.
“Tapi apabila berlaku kes dan ‘meletup’ di sekolah serta melibatkan murid, orang kata sekolah yang salah. Itu sebab saya kata, jangan simpan bawah karpet,” katanya.
Pihak sekolah perlu mengambil tindakan awal dan tepat terhadap setiap aduan salah laku agar tidak menimbulkan persepsi negatif masyarakat terhadap pengurusan sekolah.
Malah sekolah boleh mengambil tindakan bersama-sama dengan agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia (PDFM) dan agensi-agensi lain.
“Semua agensi kerajaan mahu membantu dan sekolah, buka lah pintu untuk kerjasama itu.
“Kenapa tak ambil tindakan awal dan tepat? Saya berikan jaminan kepada pengetua dan guru besar, jangan takut. Buatlah laporan. Saya ada dengan anda,” katanya.
Mohd. Azam turut mengingatkan pengetua untuk memainkan peranan sebagai pemimpin utama yang berfungsi secara profesional, bukan sekadar mengurus hal pentadbiran.
Jadi, katanya, tingkatkan keberadaan pengetua dan guru besar di sekolah supaya peranan sebagai peneraju, perancang, pembimbing dan pendorong dapat dilaksanakan.
Beliau turut menegaskan bahawa segala aktiviti yang tidak memberi kesan langsung terhadap pembelajaran pelajar, termasuk yang bersifat ceromonial, perlu dihentikan segera.
Tambah beliau, Kementerian Pendidikan (KPM) kini memberi autonomi kepada pengetua untuk membuat keputusan di peringkat sekolah selepas berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
“Saya sudah bagi arahan bahawa pengetua dan guru besar diberikan kepercayaan untuk buat keputusan untuk sekolah dia.
“Jangan ada gangguan kepada pengetua dan guru besar dalam mengurus pendidikan dan sekolah. PPD mesti menjadi sebagai sistem sokongan kepada sekolah dan JPN sebagai penyelaras terhadap polisi KPM di negeri masing-masing.
“Saya berharap prinsip yang telah saya katakan ini dapat dibincang bersama-sama dan ambil tindakan secara muafakat dan berpegang pada Melindungi Masa Instruksional (MMI). Saya nak sekolah menjadi institusi pendidikan profesional untuk anak-anak kita,” katanya. – UTUSAN









