J-KOM perlu kembali fungsi asas

J-KOM perlu kembali fungsi asas

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) perlu kembali kepada fungsi asas iaitu menyampaikan maklumat dengan adil, telus dan berkesan tanpa kecenderungan politik.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, keberkesanan J-KOM adalah penting bukan sahaja untuk kerajaan hari ini, tetapi juga untuk kerajaan-kerajaan yang akan datang.

Sebagai perbandingan, beliau berkata, di United Kingdom juga wujud agensi seumpama J-KOM, iaitu Government Communication Service (GCS).

“GCS menetapkan standard tinggi berkaitan pemilihan dan pelantikan pegawai komunikasi yang bebas daripada pengaruh politik.

“Standard etika dan garis panduan operasi yang jelas, menjadi kunci untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti. GCS juga menyediakan laporan berkala kepada Parlimen untuk mengekalkan semak imbang dan ketelusan.

“Model GCS boleh dijadikan panduan untuk membina J-KOM yang profesional, telus dan dipercayai rakyat, sambil mengekalkan fokus kepada dasar kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad memberi amaran mengenai risiko J-KOM yang dibiayai oleh wang cukai rakyat bagi digunakan untuk tujuan partisan sehingga menjadi alat propaganda parti politik.

Untuk rekod, J-KOM telah mengalami tiga kali pertukaran ketua pengarah di bawah kerajaan hari ini dan pertukaran yang kerap itu menimbulkan persoalan tentang campur tangan politik dalam proses lantikan.

Justeru, Wan Saiful menggesa kerajaan khususnya melalui Kementerian Komunikasi untuk menilai semula tujuan asas penubuhan J-KOM.

“Bagi memastikan integriti J-KOM dikembalikan, pelantikan ketua pengarah dan pegawai kanan perlu diisi oleh penjawat awam profesional, bukan lantikan politik semata-mata.

“Kekosongan wajar diiklankan agar semua profesional yang berkelayakan boleh memohon dan pemilihan dijalankan secara kompetitif,” katanya.

Beliau berkata, pegawai awam terlatih boleh menjamin neutraliti, konsistensi, kestabilan kepemimpinan dan objektiviti komunikasi serta pematuhan etika dan prinsip ketelusan.

“J-KOM boleh berperanan sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat. Untuk membina semula kepercayaan rakyat, J-KOM mesti kembali kepada asasnya iaitu profesional, telus, adil dan berkesan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN