KLANG: Golongan belia perlu bertindak bijak dan mampu menilai untuk mendapatkan maklumat tepat terutama dalam hal berkaitan dasar kerajaan yang membantu memajukan diri dalam aspek sosial serta ekonomi.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (Kasih Malaysia), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, penyebaran maklumat dalam media sosial mencabar diri untuk berfikir dan menilai baik atau buruk sesuatu perkara.
“Apa yang tidak baik untuk kita jangan kita dekati seperti scammer. Banyak kes anak muda kena scam, orang tua pun kena dan itulah masalah (cabaran) teknologi moden,” katanya dalam ucapan perasmian Program Nadi Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (NANBA) anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), hari ini.
Malah, isteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata, institusi kekeluargaan juga perlu diperkasa supaya dapat menjamin masa depan belia yang dalam masa sama akan menghargai insan-insan sekelilingnya.
“Hubungan kekeluargaan kita, ibu bapa kita (yang mewujudkan keluarga yang harmoni) adalah penting untuk anda sebagai anak muda menghargainya.
“Keluarga adalah tempat pertama kita belajar erti kasih sayang,hormat dan erti pengorbanan. Kita lihat ibu bapa kita bekerja keras, maka hargailah mereka yang berkorban untuk menjadikan anda insan yang bijak hari ini,” ujarnya. – UTUSAN










