IPT bukan platform berpolitik – Sultan Kedah

IPT bukan platform berpolitik – Sultan Kedah

SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah mengurniakan anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengurusan Perniagaan Islam kepada Azman Mokhtar pada Majlis Konvokesyen Ke-38 UUM di Dewan Mu’adzam Shah, Sintok, Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah agar institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini tidak dijadikan medan berpolitik demi masa depan generasi akan datang.

Titah Sultan Sallehuddin, IPT termasuk Universiti Utara Malaysia (UUM) sebenarnya adalah tempat untuk mencari ilmu dan bukan medan menabur fitnah.

“Andai ilmu dijadikan alat untuk berpolitik dan fitnah, ia akan memusnahkan kepercayaan rakyat dan merencatkan masa depan generasi akan datang.

“Beta menyeru agar semua pihak hendaklah bersatu dalam memastikan IPT di Malaysia berintegriti dan berpaksikan kebenaran. Universiti haruslah menjadi jambatan perpaduan, bukan tembok perpecahan,” titah pada Majlis Konvokesyen Ke-38 UUM, di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, baginda yang merupakan Canselor UUM berkenan mengisytiharkan sesi pertama dan mengurniakan ijazah kepada 92 graduan pada majlis konvokesyen itu.

Dalam titah sama, Sultan Sallehuddin menzahirkan rasa bangga terhadap kemajuan pesat UUM yang kini gah di persada antarabangsa apabila berjaya menduduki tangga ke-491 universiti terbaik dunia serta menyerlah dalam bidang pendidikan berkualiti.

“Ini lambang usaha gigih seluruh warga universiti yang wajar dipuji,” titah baginda.

Bagi graduan, Sultan Kedah juga mengingatkan agar mereka menggunakan ilmu yang diperoleh dengan bijaksana.

“Jadilah individu yang membina, bukan meruntuh dan yang menyatukan bukan memecah-belahkan. Peliharalah ilmu dengan keikhlasan agar ia dapat digunakan untuk memperindahkan kehidupan insan yang lain,” titah baginda.

Baginda turut berkenan mengurniakan anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengurusan Perniagaan Islam kepada Pengerusi International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF) University, Tan Sri Azman Mokhtar, 64. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN