KUALA TERENGGANU: Seorang pegawai polis berpangkat inspektor dihukum penjara sebulan dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan menerima wang tunai RM23,000 daripada suspek kes dadah, empat tahun lalu.
Khairul Faiz Mohd. Zaini, 37, yang bertugas di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dijatuhkan hukuman demikian selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan alternatif yang dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima tanpa balasan wang tunai berjumlah RM15,000 melalui isterinya yang dipindahkan secara dalam talian di sebuah bank di Jalan Sultan Ismail, di sini.
Khairul Faiz juga didakwa menerima wang tanpa balasan wang tunai berjumlah RM8,000 melalui isterinya yang dipindahkan secara dalam talian di sebuah bank di Dataran Austin, Kuala Nerus.
Tertuduh didakwa menerima wang tersebut sedangkan mempunyai hubungan rasmi sebagai anggota polis yang terlibat dalam serbuan menahan tiga suspek kes dadah di Kampung Pengkalan Arang, Kuala Nerus.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan Khairul Faiz pada 26 Februari 2021 dan dia dihadapkan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan. Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa ditawarkan wang tunai keseluruhan RM23,000 oleh salah seorang suspek kes dadah yang sedang disoal-siasat sebagai dorongan untuk membebaskannya selain dadah jenis syabu yang dirampas dibuang.
Dia kemudian meminjam akaun bank milik kenalan wanitanya bagi melakukan pemindahan wang tersebut secara dalam talian. Wang terbabit kemudian dipindahkan ke akaun bank isterinya sebelum dikeluarkan tanpa pengetahuan wanita berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rabiatul Addawiah Mohd Noorlee. – UTUSAN










