KUALA LUMPUR: Ibu kepada model Belanda, mendiang Ivana Esther Robert Smit memberi masa 48 jam kepada Kerajaan Malaysia untuk membayar ganti rugi RM1.1 juta sebelum wanita itu mengambil langkah seterusnya termasuk prosiding menghina mahkamah terhadap Kerajaan.
Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Roz Mawar Rozain menolak permohonan Kerajaan untuk menangguhkan pembayaran ganti rugi RM1.1 juta kepada Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen dan memerintahkan kerajaan memasukkan jumlah berkenaan bersama faedah terkumpul ke dalam sebuah akaun pelanggan (clients account) dalam tempoh 24 jam.
“Walau bagaimanapun, sehingga surat ini ditulis, pihak kami masih tidak menerima sebarang pengesahan, maklum balas, atau apa-apa bukti pembayaran berhubung amaun ganti rugi yang diperintahkan.
“Kegagalan ini merupakan satu bentuk ketidakpatuhan yang nyata serta boleh dianggap sebagai penghinaan terhadap perintah Mahkamah, memandangkan arahan Mahkamah adalah jelas, spesifik dan bersifat serta-merta.
“Selaras dengan arahan anak guam kami, kami dengan ini memberikan notis 48 jam kepada pihak defendan (kerajaan) untuk memastikan bahawa amaun penghakiman RM1.1 juta tersebut dibayar dan didepositkan ke dalam akaun pelanggan kami sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi.
“Sekiranya pihak defendan gagal melaksanakan pembayaran dalam tempoh yang dinyatakan, pihak kami telah diarahkan untuk mengambil apa-apa langkah undang-undang yang perlu dan sewajarnya termasuk prosiding penghinaan Mahkamah bagi menjamin pematuhan penuh terhadap perintah pembayaran tersebut,” kata peguam Datuk Sankara Nair dalam satu surat tuntutan yang diperolehi media hari ini.
Surat tuntutan tersebut dialamatkan kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar dan dihantar melalui emel.
Pada 29 Julai lalu, Hakim Roz Mawar menyatakan kegagalan PDRM mematuhi perintah Mahkamah Tinggi pada 2019 adalah pelanggaran jelas terhadap kewajipan statutori dan boleh membawa kepada prosiding penghinaan mahkamah.
Hakim itu menyatakan terdapat salah laku dalam pejabat awam (misfeasance) membabitkan tindakan tidak wajar dan gagal menggunakan metodologi forensik terkini yang boleh memberikan maklumat masa yang penting mengenai trauma dialami oleh Ivana.
Kekurangan ketelusan dan akauntabiliti yang jelas dalam operasi pasukan petugas, ditambah dengan ketiadaan kemajuan nyata atau komunikasi, menunjukkan kegagalan dalam mengurus dan melaksanakan mandat penyiasatan semula sewajarnya.
Mahkamah kemudian memerintahkan kesemua defendan membayar ganti rugi RM1.1 juta merangkumi RM500,000 sebagai ganti rugi am, RM300,000 (ganti rugi teruk) dan RM300,000 sebagai ganti rugi teladan kepada Verstappen. Kesemua defendan juga diperintahkan untuk membayar RM100,000 sebagai kos.
Hakim Roz Mawar turut memerintahkan PDRM untuk menyiasat semula kematian model tersebut.
Ibu Ivana memfailkan saman pada 20 November 2020 atas dakwaan kesemua defendan telah melanggar kewajipan statutori dan cuai dalam siasatan bagi menentukan punca kematian anak perempuannya.
Defendan-defendan yang dinamakan ialah Ketua Polis Negara; Pegawai Penyiasat Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Faizal Abdullah; Menteri Dalam Negeri; dan kerajaan Malaysia.
Pada 22 November 2019, Mahkamah Tinggi di sini mengetepikan dapatan Koroner dan mengarahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) meminta polis menjalankan siasatan terhadap punca sebenar kematian model tersebut.
Dalam penghakiman itu, Hakim Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan bahawa kematian Ivana disebabkan oleh “individu yang dikenali atau tidak dikenali” dan menyatakan bahawa penyiasatan yang dijalankan pada waktu itu tidak mencukupi oleh pihak berkuasa. – UTUSAN










