KOTA BELUD: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak pernah takut berunding dengan Persekutuan untuk membincangkan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA1963).
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, walaupun ramai mengatakan beliau dan kerajaannya sering mengikut telunjuk Pusat, beliau amat tegas berhubung hak dan kepentingan Sabah.
Katanya, beliau mengambil pendekatan perundingan berbanding berkonfrontasi kerana mahu merintis kerjasama erat antara Pusat dan negeri.
“Kalau mahu maju, kita kena kerjasama dengan Pusat yang mentadbir negara, kita pula mentadbir negeri. Kalau tak, bagaimana mahu maju, habis pilihan raya kena menghadap (Kerajaan Pusat) mohon macam-macam.
“Saya tidak pernah takut berunding dengan kerajaan Persekutuan. Dalam Mesyuarat Ma1963, saya paling banyak bercakap. Sampai ada orang cakap Hajiji nampak sentimental, tapi tegas.
“Namun saya tidak pernah bercakap di luar demi meraih sokongan politik, tapi kerja kena berjalan,” katanya dalam Kempen ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ GRS Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan dan Tempasuk di sini semalam.
Dalam sidang akhbar, Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, beliau yakin rundingan pemberian khas 40 peratus kepada Sabah akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Katanya, pegawai kerajaan Pusat dan negeri sedang berbincang dalam mencari mekanisme terbaik dalam pemberian tersebut.
“Kita ada ada masa, mahkamah bagi masa 90 hari. Mereka sedang berbincang untuk capai persetujuan, yang mungkin berlangsung berkali-kali,” katanya.
Kelmarin, mesyuarat pertama rundingan mengenai pemberian khas berdasarkan 40 peratus hasil Sabah telah berlangsung di Kota Kinabalu.
Mesyuarat itu dihadiri Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong bagi menyelesaikan perkara teknikal yang tertunggak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, rundingan akan dimulakan di peringkat pegawai yang diketuai Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi pihak Kerajaan Persekutuan. – UTUSAN










