PETALING JAYA: Kaedah penguatkuasaan baharu akan diperkenalkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membabitkan penggantungan lesen dan permit terhadap syarikat yang didapati berulang kali melakukan kesalahan membawa muatan berlebihan.
Bagi melaksanakan kaedah penguatkuasaan ‘three strikes out’ itu, Kementerian Pengangkutan dan JPJ sedang meningkatkan operasi bersepadu di enam zon utama iaitu utara, tengah, selatan, timur serta Sabah dan Sarawak bagi menangani isu kenderaan membawa muatan melebihi had dibenarkan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara langkah lain dikuatkuasakan penggunaan teknologi Timbang Automatik Weigh-in-Motion (HS-WIM) akan dipertingkatkan dan pemeriksaan muatan telah diwajibkan di pintu masuk pelabuhan bermula 1 Julai lalu.
“Langkah ini penting bagi mengurangkan risiko kemalangan maut, memelihara integriti jalan raya serta infrastruktur negara, dan membina budaya pematuhan kepada undang-undang.
“Selain itu, kerajaan kini menguatkuasakan pemasangan Speed Limitation Device (SLD) secara berfasa ke atas kenderaan perdagangan bermula 1 Oktober.
“Inisiatif ini bertujuan memastikan lori dan bas mematuhi had kelajuan dan seterusnya mengurangkan risiko kemalangan maut akibat pemanduan melebihi had laju,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pendedahan Utusan Malaysia pada 25 September lalu turut membongkar taktik sesetengah pemilik barangan yang menentukan berat muatan tanpa menghiraukan had dibenarkan, malah wartawan akhbar ini yang menyamar sebagai kelindan lori mendapati prosedur operasi di tapak pengisian dikawal sepenuhnya oleh pihak pemilik barangan.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, semua inisiatif tersebut telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR) yang dipengerusikannya hari ini.
Katanya, ketika ini, negara sedang berdepan dua cabaran besar dalam sektor pengangkutan iaitu kesesakan lalu lintas yang semakin meruncing dan kadar kemalangan jalan raya yang masih tinggi.
“Bagi tempoh Januari sehingga 30 September, sebanyak 4,875 kematian akibat nahas jalan raya telah direkodkan dengan purata 18 nyawa terkorban setiap hari.
“Angka ini meningkat berbanding tahun 2024 yang merekodkan purata 17 kematian setiap hari. Lebih 67 peratus daripada jumlah tersebut melibatkan penunggang motosikal,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, gabungan penguatkuasaan tegas dan insentif diperkenalkan diyakini dapat meningkatkan disiplin pemandu serta menurunkan kadar kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan.
Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan turut bersetuju melaksanakan beberapa langkah penting, termasuk penambahbaikan saringan kesihatan pemandu kenderaan perdagangan dan Pelan Hala Tuju Intelligent Traffic System (ITS) Malaysia 2030.
“Pelan ini akan menyokong agenda nasional ke arah sistem pengangkutan yang lebih pintar, selamat, cekap dan mampan.
“Keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama. Penyelesaian kepada isu kesesakan dan keselamatan tidak boleh diletakkan pada satu agensi sahaja. Ia menuntut koordinasi antara kementerian, dasar berasaskan data serta keberanian membuat keputusan demi kelangsungan sistem pengangkutan negara,” katanya. – UTUSAN










