Fokus selesai isu rakyat, bukan soal remeh

Fokus selesai isu rakyat, bukan soal remeh

THONNY CHEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
Walaupun tidak fasih berbahasa Mandarin, calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api, Thonny Chee, yakin faktor itu bukan penghalang untuk meraih sokongan pengundi di kawasan berkenaan yang majoritinya terdiri daripada masyarakat Cina.
Bekas peguam yang sudah lebih dua dekad menetap di Kota Kinabalu itu menegaskan, kemampuan berkhidmat dan menyelesaikan masalah rakyat jauh lebih penting berbanding isu bahasa yang sering dibangkitkan pihak tertentu.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, HAFIZ SAIDINA dan jurugambar AMIR KHALID, beliau menyatakan keyakinan akan kemenangan berpihak kepadanya berikutan hubungan baik PH dengan Kerajaan Pusat mampu memberi nilai tambah dalam memastikan suara rakyat Api-Api didengar.

UTUSAN MALAYSIA: Mengapa bertanding di DUN Api-Api kali ini, sebelum ini di Kudat?
THONNY CHEE: Sebenarnya saya sudah menetap di Kota Kinabalu lebih 20 tahun. Semasa bertanding di Kudat, persedia­an saya agak terhad.
Untuk PRN kali ini, parti meminta saya meneruskan legasi penyandang di Api-Api dan saya menerima amanah tersebut ke­rana saya lebih dekat serta lebih memahami keperluan di sini.

Anggap isu bahasa Cina jadi cabaran?
Saya sedar isu ini sering di­timbulkan, namun bagi saya ia bukan halangan. Di Api-Api, walaupun 45 peratus pengundinya masyarakat Cina, majoritinya fasih berbahasa Melayu dan Inggeris. Yang lebih penting, kemampuan wakil rakyat menjalankan tanggungjawab.

Bagaimana berkomunikasi dengan pengundi majoriti Cina?
Walaupun kemahiran bahasa Mandarin saya terhad, komunikasi boleh dihidupkan dalam pelbagai cara. Kita berada dalam masyarakat berbilang kaum yang sudah biasa berinteraksi menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris. Yang penting ialah penyampaian mesej dan keberkesanan per­khidmatan saya kepada rakyat, bukan semata-mata bahasa pertuturan.

Adakah bimbang persaingan lima penjuru?
Ia bukan sesuatu yang baharu. Malah sebelum ini ada sehingga lapan atau sembilan penjuru. Saya tidak terlalu risau, kita lakukan yang terbaik dan selebihnya kita serahkan kepada Tuhan.
Pandangan anda mengenai status Sabah dalam MA63?
MA63 ialah hak rakyat Sabah dan apa yang termaktub di dalamnya perlu dilaksanakan. Namun pelaksanaan mesti diperinci dengan teliti agar selari dengan undang-undang dan realiti pentadbiran. Dengan Presiden PH juga merupakan Perdana Menteri, lebih mudah untuk kami berkomunikasi dan menjadi jambatan antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan bagi memperjuangkan tuntutan ne­geri.

Bagaimana PH merancang menarik sokongan dalam sai­ngan parti tempatan?
Bagi saya, isu kenegerian bukan perkara yang harus memisahkan kita. Kita hidup dalam satu negara dan yang lebih pen­ting ialah bagaimana kerajaan membantu rakyat. Apa yang perlu di tumpukan ialah pelaksanaan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat Sabah, bukan soal berasal dari negeri mana. Fokus PH menyelesaikan masalah setempat, bukan retorik kenegerian.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN