Festival Idea Putrajaya dijadikan acara tahunan

Festival Idea Putrajaya dijadikan acara tahunan

FAHMI Fadzil pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya semalam.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jemaah Menteri hari ini memutuskan agar Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) dijadikan sebagai acara tahunan.

Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, festival itu akan dimasukkan dalam kalendar nasional dan akan terus diadakan di Putrajaya setiap tahun.

“Putrajaya FOI telah diputuskan untuk dijadikan acara tahunan dalam kalendar nasional dan akan terus diadakan di Putrajaya setiap tahun, insya-Allah,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir dan pasukannya atas penganjuran festival itu.

Pada masa sama, Fahmi berkata, Perdana Menteri juga gembira dengan kehadiran Setiausaha Agung ASEAN terkini ialah Dr. Kao Kim Hourn pada festival itu.

“Festival itu turut dihadiri menteri-menteri pendidikan tinggi dari rantau ASEAN, serta wakil sektor swasta. Ini satu pencapaian yang amat dihargai oleh Perdana Menteri dan Jemaah Menteri,” katanya.

Putrajaya FOI yang berlangsung selama lima hari sejak Selasa lalu menyasarkan kehadiran 500,000 pengunjung terdiri penuntut universiti awam dan swasta serta orang awam.

Festival itu menampilkan pelbagai pengisian ilmiah, interaktif dan hiburan berkualiti selain FOI Run Challenge sejauh lima dan 10 kilometer yang dijadual berlangsung esok. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×