Enggan tinggal lama punca doktor tolak bertugas di Borneo - Utusan Malaysia

Enggan tinggal lama punca doktor tolak bertugas di Borneo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada jaminan tempoh perkhidmatan bagi penempatan di Sabah dan Sarawak menjadi punca utama ramai pegawai perubatan atau doktor muda enggan menerima perjawatan di kedua-dua negeri, sehingga membawa kepada isu kekurangan yang berlarutan selama lebih dua dekad.

Presiden Persekutuan Persatuan Doktor Perubatan Swas­ta Malaysia (FPMPAM), Dr. Shanmuganathan T.V. Ganeson berkata, ramai doktor menolak penempatan di Sabah dan Sarawak kerana sehingga kini, tiada dasar jelas menetapkan tempoh minimum atau maksimum seseorang perlu berkhidmat.

Katanya, doktor tidak mengetahui sama ada mereka akan ‘terikat’ selama dua tahun atau enam tahun, menyebabkan perancangan kerjaya, perkahwinan, pendidikan anak dan kewangan terganggu.

“Sekiranya Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan kontrak penempatan selama satu hingga dua tahun dengan jaminan pulang automatik selepas tamat tempoh, kadar penolakan penempatan di Sabah dan Sarawak akan turun dengan ketara,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Shanmuganathan berkata, permohonan perpindahan sering bergantung kepada syarat ‘mencari pengganti’ yang dianggap tidak praktikal kerana kekurangan doktor merupakan masalah struktur nasional.

Katanya, ia bukan isu individu yang boleh diselesaikan oleh pegawai itu sendiri.

“Makluman penempatan yang dibuat pada saat akhir menyukarkan persiapan keluarga, terutama bagi mereka yang berkahwin atau mempunyai anak kecil.

“Ini menyebabkan doktor terpaksa membuat keputusan drastik dalam masa beberapa hari termasuk menguruskan tempat tinggal, sekolah anak, pengangkutan dan komitmen pasangan bekerja,” katanya.

Beliau berkata, masalah kehabisan tenaga (burnout) bukan berpunca daripada jumlah pesakit yang tinggi tetapi kerana bilangan staf yang terlalu minimum. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN