Pahang angkat martabat tahfiz, wujud ekosistem menyeluruh - Utusan Malaysia

Pahang angkat martabat tahfiz, wujud ekosistem menyeluruh

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (tujuh dari kiri) pada Himpunan Huffaz Negeri Pahang 2026 di Kompleks Yayasan Pahang, Kuantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Doktor, jurutera, juruaudit, pegawai tadbir dan diplomatik (PTD), pakar kewangan serta pelbagai lagi jawatan dalam bidang profesional adalah antara yang disandang bekas pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP).

Ini membuktikan satu kejayaan besar kepada Pahang dalam membangunkan institusi tahfiz di negara ini. Malah lebih membanggakan ada antara pelajar terbabit bukan sahaja melanjutkan pengajian di luar negara, malah turut ditawarkan berkhidmat di sana termasuk sebagai doktor dan sebagainya.

Antara nama yang menjadi figura MTNP ialah seperti Dr. Muhammad Dawotd Khan Mad Mikhan yang merupakan Doktor Ortopedik Hospital Sungai Buloh; Balqis Zulkifle (doktor gigi); Dr. Mohd Nazmi Nordin (Doktor Bedah ENT di Northwick Park Hospital United Kingdom); Afifa Aisyah Idris (juruaudit di Ernst & Young), Ariff Farhan Zulkifli (Eksekutif Operasi Petronas), Muhammad Iqbal Ahmad Fadzli (juruaudit di KPMG), Muhammad Adam Faliq Abdul Ghani (Penganalisis Kewangan Bank Negara Malaysia) dan Taufik Ahmad (PTD di United Kingdom).

Namun, hakikatnya kejayaan MTNP ini adalah hasil daripada dukungan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Wan Rosdy berkata, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa meletakkan agenda pendidikan Islam dan pembangunan tahfiz sebagai antara keutamaan negeri yang mana ia juga selari dengan Aspirasi Pahang 1st yang menjadikan pemerkasaan agama Islam sebagai tiang seri kepada pembangunan negeri.

“Kita percaya bahawa negeri yang makmur bukan hanya negeri yang kaya dengan hasil bumi, tetapi negeri yang subur dengan ilmu, dihiasi akhlak dan dipimpin oleh generasi yang dekat dengan Allah SWT.

“Atas keyakinan bahawa pembangunan tahfiz perlu dirancang secara menyeluruh dan berterusan, kerajaan negeri melalui Yayasan Pahang telah membangunkan satu ekosistem pendidikan tahfiz yang lengkap dan tersusun,” katanya.

Menurutnya, hasil daripada perancangan dan pelaburan yang tersusun ini, MTNP dan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang turut cemerlang dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Ia meletakkan institusi tahfiz milik Kerajaan Negeri Pahang ini dalam kelompok tiga institusi pendidikan terbaik di Malaysia.

Katanya, kerajaan negeri juga turut mewujudkan program Tahfiz Mahir sebagai usaha mempersiapkan belia-belia tahfiz dengan bidang kemahiran atau TVET.

Katanya, perjalanan pendidikan tahfiz di Pahang kini melangkah ke dimensi lebih besar, di mana atas kebijaksanaan Sultan Pahang, negeri ini telah mencipta sejarah apabila menubuhkan Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS), iaitu universiti al-Quran pertama di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN