KOTA TINGGI: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan menggerakkan agensi-agensi di bawahnya untuk meningkatkan lagi ekonomi pekebun kecil dan melaksanakan beberapa inisiatif keterjaminan makanan bertujuan mengurangkan kebergantungan makanan import.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara strategi utama yang sedang dilaksanakan termasuk memanfaatkan tanah-tanah terbiar milik agensi kerajaan bagi tujuan projek pertanian berimpak tinggi dan penternakan.
“Tanah-tanah yang kurang atau tidak dimanfaatkan sepenuhnya akan ditukar untuk pelbagai projek pertanian demi keterjaminan makanan serta binatang ternakan,” katanya pada Program RISDA Agromajestic Negeri Johor Tahun 2026 di Pekarangan Dataran Kejat, Bandar Tenggara, di sini, semalam.
Menurut Ahmad Zahid, inisiatif itu akan dilakukan dengan kerjasama banyak pihak termasuk Jabatan Veterinar, kerjasama Felcra dan lain-lain agensi pertanian yang lain di bawah kerajaan negeri dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Katanya lagi, kadar kebergantungan import bahan makanan negara akan dikurangkan sehingga 50 peratus menjelang tahun 2050.
Menurutnya, langkah itu penting memandangkan unjuran nilai import makanan negara pada ketika ini mencecah sekitar RM80 bilion setahun.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, bagi merealisasikan misi berkenaan, kementerian menerusi agensi di bawahnya juga telah menggerakkan pelbagai inisiatif sekuriti makanan sejak tiga tahun lalu.
“Untuk tahun 2030, saya fikir kita boleh mengurangkan sekurang-kurangnya 15 peratus. Tahun 2040, ia akan mencapai ke angka 30 peratus dan saya fikir untuk mencapai tahap 50 peratus pengurangan import tu sebelum tahun 2050.
“Walaupun ini satu program jangka panjang tetapi dengan kejayaan yang telah dilakukan, insya-Allah kita mempunyai unjuran bagi pengurangan pengimportan bahan-bahan makanan itu.
“Ia melalui agensi-agensi yang bukan pun di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan tetapi koordinasi itu dilakukan oleh KKDW kerana secara kebetulan saya juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Sekuriti Makanan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Manndzri Nasib berkata, Program RISDA Agromajestic Negeri Johor Tahun 2026 merupakan platform mengetengahkan produk agromakanan sekali gus meningkatkan potensi ekonomi khususnya masyarakat desa.
Katanya, ia juga mencerminkan komitmen agensi itu dalam memperkasa pembangunan pekebun kecil secara menyeluruh.
Menurutnya, usaha itu bukan sahaja melalui sektor penanaman getah tetapi menerusi pengembangan aktiviti agromakanan serta pengeluaran hasil baharu.
Oleh itu katanya, RISDA Agromajestic Negeri Johor 2026 memainkan peranan dalam pembangunan ekonomi desa yang lebih produktif, berdaya tahan dan bernilai tinggi selaras dengan usaha memperkasa sektor luar bandar.
“Melalui sokongan kerajaan Persekutuan dan KKDW inisiatif berkenaan diyakini mampu memperluaskan peluang ekonomi kepada pekebun kecil meningkatkan nilai ekonomi tanah desa serta memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara.
“Pada masa sama, pelaksanaan program ini turut menyokong Agenda Ekonomi Desa Nasional dan aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) dalam melahirkan komuniti luar bandar yang lebih mampan, berdaya saing dan berpendapatan tinggi,” katanya.
Manndzri dalam pada itu berkata, sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 RISDA membelanjakan lebih RM108.5 juta bagi melaksanakan 4,500 projek agromakanan yang melibatkan 6,815 peserta di seluruh negara.
Katanya, program berkenaan berjaya merekodkan nilai jualan hasil melebihi RM160 juta, sekali gus membuktikan pulangan ekonomi yang signifikan kepada peserta serta potensi sektor agromakanan sebagai sumber pendapatan alternatif kepada pekebun kecil.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Seri Suriani Ahmad dan Ketua Pengarah RISDA, Zainal Azni Zulkifli.-UTUSAN.










