GEORGE TOWN : Selepas lebih enam dekad membina legasi, memperkasa komuniti serta ‘mencipta’ masa depan, Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad (KTMSAB) yang ditubuhkan sejak 1963 kini muncul sebagai antara koperasi paling berjaya di Malaysia khususnya dalam sektor pembangunan hartanah.
Bermula daripada usaha sekumpulan pemimpin masyarakat mempertahankan hak pemilikan tanah penduduk tempatan, koperasi itu seterusnya menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat khususnya di sekitar kawasan Sungai Ara, Relau, Sungai Nibong, Sungai Tiram dan Bayan Lepas di Pulau Pinang.
Menurut Ketua Pegawai Operasi KTMSAB, Mohd. Annas Mohd. Nasser, antara sumbangan koperasi itu terhadap masyarakat atau penduduk setempat ialah menerusi projek-projek pembesaran atau pengubahsuaian masjid seperti di Masjid Al-Mustaghfirin, Sungai Tiram dan Masjid Umar Ibnu Al-Khattab di Bayan Baru.
Katanya, masjid lain yang turut menerima ‘sentuhan’ KTMSAB ialah Masjid Al-Huda di Sungai Ara dan Masjid Al-Ittifaq di Sungai Nibong Kecil serta Masjid Al-Hidayah di Bayan Lepas di sini.
“Selain itu, KTMSAB turut menyumbang zakat perniagaan kepada masjid, surau, sekolah, kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) madrasah dan golongan asnaf.
“Pada masa yang sama, sumbangan juga diberi untuk pembangunan Klinik Kesihatan Relau, Sekolah Agama Sungai Ara, Madrasah Uthmaniah, Pusat Hemodialisis Zakat Bayan Lepas serta Gelanggang Futsal Sungai Ara,” katanya baru-baru ini.
Beliau berkata, ketika ini, KTMSAB turut menguruskan sebanyak 365 unit sewaan komersial yang melibatkan ruang perniagaan, lot kedai serta pejabat di beberapa lokasi strategik di negeri ini.
“Sejak 1986 pula, kami telah membangunkan lebih daripada 25 projek perumahan sendiri manakala 25 projek lagi yang terdiri daripada projek perumahan dan komersial dijalankan secara usaha sama atau ‘joint venture’ (JV).
“KTMSAB juga telah mewujudkan Laman Co-op City di Sungai Ara sebagai satu ruangan rekreasi mesra komuniti yang menggabungkan elemen landskap dan rekreasi. Laman itu kini dianggap sebagai mercu tanda Bandar Koperasi Pertama di Malaysia.
“Selain itu, KTMSAB turut terlibat dengan pembangunan hab komersial dan menara pejabat korporat berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang dikenali sebagai GBS Tower @ Penang Airport,” katanya.
Tambah beliau, KTMSAB juga menguruskan dua buah stesen minyak yang masing-masing beroperasi di Jalan Dato Ismail Hashim dan dan Jalan Tengah, Bayan Lepas; sebuah hotel di Port Dickson, Negeri Sembilan serta sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan dobi yang dikendalikan oleh subsidiari KTMSAB iaitu Tunas Harta Sdn.Bhd.
Sementara itu, Mohd. Annas memberitahu, sejak 1992 hingga kini, KTMSAB telah meraih lebih daripada 20 anugerah dan pengiktirafan sama ada di peringkat negeri atau nasional.
Katanya, ini termasuk pengiktirafan yang diterima baru-baru ini iaitu sebagai penerima Anugerah Merit bagi kategori profesional untuk Anugerah Reka Bentuk Landskap pada Malaysia Landscape Architecture Awards 2026.-UTUSAN










