PETALING JAYA: Dua sungai kini melepasi paras bahaya berikutan hujan lebat berterusan yang berlaku di utara dan selatan tanah air.
Berdasarkan maklumat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal Public InfoBanjir, sungai yang mencatat paras kritikal ialah di Empangan Timah Tasoh, Padang Besar, Perlis serta Sungai Pulai di Kampung Ulu Pulai, Pontian, Johor.
Paras air di Empangan Timah Tasoh direkodkan 29.8 meter mengatasi paras bahaya 29.6 meter, manakala Sungai Pulai mencatat bacaan 3.02 meter melepasi paras bahaya yang ditetapkan.
Di Sungai Jarum, Kampung Masjid, Padang Besar, paras air kekal pada tahap amaran dengan bacaan 33.32 meter melepasi paras amaran 33.3 meter, namun trend aliran menunjukkan penurunan.
Dua lagi sungai di Perlis berada pada paras waspada iaitu Sungai Arau di Kolam Sungai Jernih dengan bacaan 21.68 meter (0.18 meter melebihi paras waspada) dan Sungai Pelarit di Wang Kelian, Padang Besar dengan bacaan 105.82 meter (0.02 meter melebihi paras waspada)
Beberapa kawasan di Sarawak turut menunjukkan peningkatan paras air dengan dua lokasi pada tahap amaran iaitu Long Teru, Miri dengan bacaan 7.25 meter (paras amaran 7.0 meter) iaitu trend menaik, manakala Nanga Lemai B, Sibu dengan bacaan 3.58 meter (paras amaran 3.1 meter) bagi trend menurun.
Di Kelantan, dua sungai melepasi paras waspada iaitu Sungai Galas, Limau Kasturi dengan bacaan 58.12 meter (2.12 meter melepasi paras waspada 56.0 meter) dan Sungai Lebir, Kampung Tualang dengan bacaan 31.1 meter (1.1 meter melepasi paras awal waspada).
Selain itu, di Kedah, Sungai Titi Kerbau, Kubur Panjang merekodkan bacaan 3.78 meter, melepasi paras amaran 3.7 meter. – UTUSAN










