KUALA LUMPUR: Suasana Dewan Rakyat hari ini kecoh lagi dengan isu berkaitan menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dibangkitkan seorang ahli Parlimen kerajaan.
Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan yang boleh diambil oleh kerajaan terhadap mereka yang dikehendaki Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), namun melarikan diri ke luar negara.
“Sebagai contoh, anak menantu Pagoh (Muhyiddin) yang terbabit dalam kes rasuah SPRM, nak didakwa tetapi dia sudah melarikan diri ke luar negara sebaik sahaja ayah mentuanya iaitu Pagoh didakwa oleh SPRM di mahkamah.
“Memandangkan anak menantu Pagoh sudah melarikan diri, adakah kita (SPRM) ada tanya kepada bapa mentua mana perginya anak menantu beliau,” katanya.
Isu dibangkitkan Poay Tiong mencetuskan situasi kurang senang dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang dengan mempersoalkan motif wakil rakyat DAP itu berkali-kali membangkitkan isu sama.
Sementara itu, Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) ketika mencelah berkata, kenyataan Poay Tiong sudah beberapa kali dibangkitkan dan mendatangkan sakit hati kepada pembangkang.
“Saya ingat berapa kali dah Kota Melaka bangkitkan soalan yang sama. Sakit hati kami. Kes terowong macam mana?,” katanya merujuk kes rasuah yang dikaitkan dengan salah seorang pemimpin DAP.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meminta kedua-dua ahli Parlimen tersebut duduk untuk memberi laluan kepada Perdana Menteri menjawab soalan dibangkitkan.
“Saya sudah suruh Kota Melaka duduk. Kita jawab yang ini dulu. Kita masuk kes terowong kemudian. Isu menantu Pagoh pun sudah dibangkitkan banyak kali, jadi saya rasa tak perlu ungkit lagi kecuali ada isu baharu,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan selesai menyiasat kes pecah amanah melibatkan ahli perniagaan dalam buruan iaitu Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan yang juga menantu Muhyiddin.
Azam berkata, tugas SPRM ketika ini adalah memastikan pertuduhan terhadap Muhammad Adlan dan peguamnya Mansoor Saat berlaku di negara ini. – UTUSAN










