KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menyerahkan maklumat tambahan diperlukan Polis Antarabangsa (Interpol) mengenai menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, iaitu Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, PDRM kini dalam tindakan menunggu maklum balas Interpol bagi meletakkan nama Muhammad Adlan dalam senarai notis merah.
“Maklumat tambahan berkenaan telah diperoleh daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dikembalikan semula kepada Interpol,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pemakaian Lencana Pangkat dan Serah Terima Tugas Pengarah dan Pengerusi Perkep Jabatan KDNKA serta Pengarah dan Pengerusi PERKEP JSJN PDRM di Dewan Tan Sri Abd Rahman Hashim di Pulapol, di sini hari ini.
Pada 2 Mac lalu, Utusan Malaysia melaporkan nama peguam yang juga pengarah dan pemegang saham NERS Sdn. Bhd. (NERS), Mansoor Saat disenaraikan dalam notis merah Interpol sejak 19 Februari lalu.
Razarudin mengesahkan, permohonan meletakkan nama Muhammad Adlan ke dalam senarai merah berkenaan tidak dapat dilakukan memandangkan ada lagi maklumat tambahan diperlukan Interpol.
Beliau berkata, satu maklum balas telah diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada Interpol pada 19 Februari lalu yang menghendaki butiran lanjut mengenai Muhammad Adlan.
Sebelum itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tuduhan tanpa kehadiran terhadap Muhammad Adlan Berhan menjadi pilihan terakhir SPRM dalam mengambil tindakan perundangan berkait kes disiasat mereka.
Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya belum mengambil pendekatan itu berikutan yakin Muhammad Adlan masih boleh dikesan dan balik ke Malaysia untuk menghadapi pertuduhan tersebut. – UTUSAN










